Tuesday, January 18, 2022

Chong: PSB tetap lawan kami

Secara Rawak

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen semalam menolak kemungkinan bekerjasama dengan PSB pimpinan Wong Soon Koh.

Jelasnya dalam sidang media di Sibu, PSB mempunyai ciri tertentu yang bercanggah dengan ideologi dan perjuangan DAP.

Jelaslah kedua-dua parti itu bakal bertembung di banyak kerusi khususnya di bandar dalam PRN nanti.

“Untuk ketika ini, isu berkaitan kerjasama dengan PSB tidak akan berlaku. PSB tetap lawan kami,” jelas Chong yang juga bekas Adun Kota Sentosa.

Pada tahun lalu, Wong Soon Koh menyatakan PSB tidak akan menjalinkan kerjasama  DAP dalam PRN-12.

Presiden PSB itu berkata, beliau ingin menjelaskan bahawa dakwaan bahawa pihak mereka akan bekerjasama dengan DAP itu adalah tidak benar.

“Perkara tersebut dilaporkan dalam media Cina yang mendakwa bahawa saya telah mengatakan PSB akan bekerjasama dengan DAP untuk PRN yang akan datang.

“PSB adalah parti Sarawak yang bebas sepenuhnya tanpa hubungan dengan pihak lain termasuk parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

“Sehingga kini, PSB telah mengenal pasti calon yang akan bertanding dalam 65 kawasan DUN.

“PSB masih terbuka untuk bertanding di 82 kerusi DUN jika kami mempunyai calon yang tepat,” tegasnya.

Hakikatnya, PSB tidak berpuas hati dengan formula yang dikemukakan oleh Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen mahu parti itu diperuntukkan 30 peratus daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Justeru, tidak hairanlah, PSB menolak cadangan agihan kerusi yang dikemukakan oleh Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan  Adun Kota Sentosa itu.

Disebabkan itu, PSB akan bertanding di semua kerusi DUN walaupun sebelum ini dilaporkan hanya akan bertanding di sekitar 65 kerusi.

“Sebagai parti tempatan yang benar-benar bersifat pelbagai kaum dan parti pembangkang terbesar di Sarawak, PSB ialah alternatif kepada GPS,” kata kenyataan itu.

Chong dilaporkan mengemukakan formula 3+3+3+1 yang bermaksud 30 peratus daripada kerusi DUN adalah untuk ditandingi DAP, PKR dan PSB masing-masingnya, manakala Amanah akan bertanding di 10 peratus daripada kerusi.

DAP, PKR dan Amanah ialah komponen PH Sarawak.

“Saya fikir untuk PH, kami terbuka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang  yang berwibawa dan mempunyai integriti. Lagipun, adalah penting untuk mencapai semacam konsensus dengan PSB, jika boleh,”  kata Chong ketika itu.

Persoalannya, siapakah lebih kuat? Adakah PSB atau DAP? DAP pasti mendahului PSB dalam PRN nanti dari segi jumlah kerusi yang bakal dimenangi.

GPS berdepan PRN-12 untuk pertama kali sebagai entiti baharu politik selepas keluar daripada BN Pusat susulan kekalahan BN di peringkat nasional pada 2018.

GPS akan menggunakan logo dan lambang Burung Kenyalang.

Sementara apabila ditanya adakah GPS sudah mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding, Abang Johari dengan nada bergurau berkata “Anda semua lihat kami di sini,” sambil menunjuk ahli-ahli kabinet yang hadir.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut kerana menurutnya masih terlalu awal.

Bagaimanapun, dijangka GPS akan menampilkan sekurang-kurangnya 20 muka baharu dalam PRN itu nanti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru