Saturday, December 4, 2021

Batik Linut dirasmikan di Miri pada 24 Nov ini

Secara Rawak

MIRI: Batik Linut, produk hasil anak Sarawak daripada bahan linut yang diperbuat daripada tepung lemantak akan dilancarkan di sini pada 24 Nov ini.

Batik itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Majlis pelancaran dijangka diadakan di Miri Marriot Resort and Spa pada 3 petang, kata Menteri Muda Pelancongan Datuk Sebastian Ting di sini semalam.

Ting yakin produk itu mampu menarik pelancong asing ke Sarawak.

Menurut Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip yang dipetik media sebelum ini,  linut dihasilkan daripada sagu mentah  atau lemantak sebelum diproses menjadi tepung sagu.

Sagu mentah akan dicampur dengan air panas sehingga menjadi likat dan jernih untuk dinikmati bersama makanan lain sebagai penambah perisa. Rasanya yang tawar membuatkan ia mudah diserasikan dan digandingkan dengan apa juga sajian sampingan.

“Apabila dicampur air panas, ia akan cair dan ‘masak’. Apabila kering, ia akan menjadi beku dan keras tetapi boleh dilembutkan semula menggunakan air. Linut yang sudah kering dan membeku ini berpotensi menjadi bahan penghalang air daripada menembusi bahagian sebaliknya.

“Dalam pembuatan batik, linut dilihat mampu menjadi bahan penghalang warna menggantikan lilin berdasarkan sifatnya setelah kering dan boleh ditanggalkan daripada fabrik menggunakan air.

“Idea untuk menggunakan linut sebagai pembaharuan dalam pembuatan batik tercetus apabila diberi tugasan untuk mencari inovasi yang dapat memberikan kelainan sama ada dari segi penggunaan bahan, teknik, proses, reka corak dan mewujudkan identiti baru bagi komuniti setempat,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru