Tuesday, August 16, 2022

Tun Taib merasmi Masjid Al-Muhsinin di Daro

Secara Rawak

DARO: Masjid Baru Daerah Daro yang dikenali sebagai Masjid Al-Muhsinin telah  dirasmikan perasmiannya oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Jumaat. 

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tiba di Masjid Al-Muhsinin Daerah Daro pada 11.50 pagi selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Daerah Daro di Pejabat Daerah Daro. 

Selepas itu, pada 12:05 tengah hari, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tiba dan seterusnya mendengar taklimat Pembinaan Masjid Al-Muhsinin Daerah Daro yang disampaikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Shafie Ahmad. 

Masjid Al-Muhsinin Daerah Daro ini merupakan Projek Rakyat yang bernilai RM9.5 juta yang boleh menampung kira-kira 1,635 jemaah dalam satu-satu masa. 

Mula dibina pada 25 April 2019 di atas tapak tanah berkeluasan kira-kira 5 ekar di Pekan Daro yang mengambil masa selama 2 tahun 6 bulan untuk disiapkan pada 29 Oktober 2021 dan menjadi mercu tanda baharu bagi penduduk di Daro ini.

TYT Yang Di Pertua Negeri Sarawak dan Ketua Menteri Abang Johari kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama dengan kira-kira 500 jemaah tempatan. 

Khutbah Jumaat telah dibacakan Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS) Khalidi Ibrahim dan solat Jumaat telah dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Sarawak Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi. 

Selepas solat Jumaat, TYT Sarawak Tun Taib merasmikan Masjid Al-Muhsinin Daerah Daro dengan menandatangani plak Perasmian digital. 

Selepas itu, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak menerima cenderamata daripada Pengerusi Pengelola Majlis Perasmian Masjid Al-Muhsinin Daerah Daro Shafie Ahmad. 

Sebelum meninggalkan majlis, TYT Yang Di Pertua Negeri Sarawak dan Ketua Menteri menjamu selera dan menanam pokok sebagai simbolik Perasmian Masjid Al-Muhsinin Daerah Daro. 

Sementara itu, dalam program berasingan Toh Puan Ragad Kurdi Taib yang turut sama dalam lawatan ke Daerah Daro ini telah menghadiri program Jalinan Kasih bersama penduduk setempat. 

Kedua-dua program ini berlangsung dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan Kerajaan bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.

Hadir sama Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Wahab, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Shafie Ahmad, bekas ADUN Jemoreng Datuk Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi dan Sosioekonomi) Dato’ Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru