Sunday, July 3, 2022

GPS dijangka tampil 20 muka baharu

Secara Rawak

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah berbincang mengenai pembahagian kerusi antara keempat-empat parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).

Perkara tersebut didedahkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS pada sidang media khas bertempat di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

PRN-12  yang dijangka pada akhir November atau awal Disember depan akan menyaksikan pertarungan antara GPS dengan sekurang-kurangnya tujuh buah parti lain, termasuk DAP, PKR, PSB, Star, Parti Bumi Kenyalang, Sedar, dan Amanah.

Namun, parti utama yang dijangka menjadi saingannya ialah DAP dan PSB sahaja.

Dalam PRN-11, BN memenangi 72 kerusi daripada 82 kerusi dipertandingkan susulan penambahan 11 kerusi baharu.

GPS berdepan PRN-12 untuk pertama kali sebagai entiti baharu politik selepas keluar daripada BN Pusat susulan kekalahan BN di peringkat nasional pada 2018.

GPS akan menggunakan logo dan lambang Burung Kenyalang.

Sementara apabila ditanya adakah GPS sudah mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding, Abang Johari dengan nada bergurau berkata “Anda semua lihat kami di sini,” sambil menunjuk ahli-ahli kabinet yang hadir.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut kerana menurutnya masih terlalu awal.

Bagaimanapun, dijangka GPS akan menampilkan sekurang-kurangnya 20 muka baharu dalam PRN itu nanti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru