Saturday, December 4, 2021

Trienekens Sarawak terbukti cemerlang!

Secara Rawak

KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, syarikat pengendali Sistem Pengurusan Sisa Bersepadu Sarawak dinobatkan sebagai pemenang Sektor Perkhidmatan (Kategori 3) dalam Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI), semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens, Stephen Chin dalam kenyataan berkata, beliau sentiasa percaya bahawa aset yang paling penting untuk perniagaan ialah kakitangannya.

“Apabila orang dalam organisasi gembira bekerja untuk syarikat dan berkongsi matlamat yang sama, mereka akan melayani pelanggan dengan baik.

“Apabila anda mempunyai pasukan individu yang bersedia untuk bekerja lebih keras untuk anda, di situlah syarikat anda menjadi hebat,” katanya memuji ahli pasukan syarikat itu.

Menurutnya, pencapaian ini benar-benar cemerlang kerana ia adalah kali pertama Trienekens mengambil bahagian dalam anugerah pengiktirafan peringkat kebangsaan ini untuk syarikat teladan.

Ujarnya, untuk memenanginya adalah benar-benar memotivasikan dan memberi inspirasi.

“Ini tidak mungkin berlaku tanpa komitmen dan dedikasi setiap kakitangan Trienekens,” tambahnya.

Chin menambah, dengan anugerah itu, mereka (Trienekens) digalakkan untuk bekerjasama lebih erat dengan semua agensi dan anggota masyarakat yang berkaitan.

Jelasnya, ini adalah untuk menyampaikan standard perkhidmatan pengurusan sisa yang lebih baik dan lebih tinggi.

AKI atau Anugerah Kecemerlangan Industri 2020 adalah dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengiktiraf syarikat Malaysia cemerlang yang menunjukkan kecemerlangan dalam produktiviti, daya tahan dan daya saing.

Diperkenalkan oleh MITI pada tahun 1991, AKI dikenali sebagai anugerah pengiktirafan korporat terulung negara dan penghormatan tertinggi untuk pemain industri yang berprestasi tinggi.

Dianjurkan dua tahun sekali, AKI 2020 menandakan edisi ke-27 dengan 78 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor bersaing untuk memenangi 11 anugerah kategori.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru