Wednesday, June 29, 2022

Berhati-hati hampiri tapak kerja Projek Pembentungan Miri

Secara Rawak

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan memberi perhatian dan memperbetulkan sebarang masalah yang timbul disebabkan  Projek Pembentungan Miri oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak.

Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang memberitahu, penggalian dan kerja-kerja terowong yang meluas telah dijalankan dan menyebabkan banyak gangguan di tempat awam serta menyusahkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya.

“Pada keadaan tertentu, projek itu menyebabkan timbulnya bahaya terhadap keselamatan awam yang serius.

“Banyak kerja-kerja pemulihan jalan yang didakwa tidak mencapai standard seperti yang dikehendaki pihak berkuasa dan juga telah banyak aduan daripada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Tambah Adam Yii lagi, bagi memulihkan semula sama ada jalan yang rosak atau kerja-kerja yang tidak dipulihkan, MBM akan mendapatkan dana tambahan untuk menurap semula jalan raya dengan sempurna sebaik sahaja projek itu siap dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati apabila menghampiri tapak kerja Projek Pembentungan Miri.

Datuk Bandaraya Miri itu juga memberitahu, Projek Pembentungan Miri adalah projek besar yang akan membolehkan Bandar Miri menguruskan sistem pembentungan dan rawatan air sisa dengan lebih baik sebaik sahaja projek itu siap dan beroperasi.

“Ia merupakan projek yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak dan projek itu telah dimulakan pada 30 Mac 2017 dan ia sepatutnya siap pada awal Jun 2021.

“Bagaimanapun, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan akibat pandemik COVID 19, banyak daripada yang kerja-kerja terhenti dan jadual penyiapan akan ditangguhkan lagi,” jelas beliau lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru