Sunday, May 29, 2022

Laksanakan program restorasi di Sarawak dengan pelbagai sokongan

Secara Rawak

MIRI: Pelaksanaan program restorasi di Sarawak perlu disokong dengan pelbagai inisiatif seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, semua pihak yang berkepentingan harus memikirkan cara dan pendekatan yang terbaik bagi melaksanakan program ini mengikut peranan masing-masing.

“Sebagai contoh, saya mengucapkan syabas kepada Jabatan Hutan Sarawak yang telah menghasilkan “Seed Ball” sebagai medium penanaman pokok.

“Penggunaan seed ball boleh memudahkan kerja-kerja penanaman pokok terutama di kawasan yang sukar dimasuki seperti kawasan-kawasan yang berbukit.

“Setiap seed ball yang dihasilkan, akan disalutkan dengan biji benih pokok spesies tempatan yang bernilai tinggi. Selepas 7 hingga 14 hari, ianya ditabur sama ada secara manual ataupun menggunakan drone yang boleh mencapai kadar percambahan sehingga 90 peratus.

“Manakala, kos penyediaan seed ball juga jauh lebih murah berbanding dengan kaedah-kaedah moden yang lain,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf semasa Majlis Perasmian Le Tour De Restoration (Greening Sarawak’s Campaign) Jabatan Hutan Sarawak 2021 Peringkat Bahagian Miri pada Rabu.

Katanya lagi, sebagai sokongan terhadap program ini, beliau berharap semua yang berkepentingan untuk menjalin kerjasama pintar terutama dalam R&D bagi menghasilkan spesies pokok tempatan yang berkualiti tinggi, mempunyai kadar pertumbuhan yang cepat serta tahan terhadap serangan penyakit dan serangga perosak.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru