Sunday, May 29, 2022

Sibu bakal jadi bandar raya ketiga di Sarawak

Secara Rawak

SIBU: Kerajaan negeri Sarawak sedang berusaha menjadikan Sibu sebagai bandar ketiga berstatus bandar raya menjelang tahun 2031 dengan beberapa projek besar dalam perancangan untuk mencapai wawasan itu, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Projek itu termasuk pelan pembangunan semula Bukit Assek, peluasan kawasan bandar dan komersial Sibu, menaik taraf infrastruktur digital dan membangunkan kawasan tanah gambut di Bukit Lima sebagai kawasan simpanan semula jadi.

Untuk dilaksanakan dalam pelan jangka panjang Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), beliau berkata, projek itu akan membantu Sibu yang telah memenuhi prasyarat lain seperti mempunyai universiti, untuk mencapai status bandar raya, kata Bernama.

Bercakap secara maya melalui Zoom sempena sambutan ulang tahun ke-40 Majlis Perbandaran Sibu (SMC) di sini hari ini, Abang Johari berkata, SMC telah mencapai kejayaan besar dalam mentransformasikan Sibu sejak 40 tahun yang lalu.

“Sekarang adalah masa untuk melihat ke hadapan iaitu 40 tahun akan datang atau sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang. SMC mempunyai objektif untuk menjadikan Sibu sebagai bandar raya menjelang 2031 dan oleh itu untuk 11 tahun akan datang, kita perlu bekerja keras dan merancang supaya Sibu berjaya mencapai status bandar raya,” katanya.

Jawatankuasa bagi pelan pembangunan semula Bukit Assek telah dibentuk dan Abang Johari telah meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) mengenai perkara itu.

Menyifatkan ia sebagai tugas yang penting, Abang Johari berkata, ia memerlukan kerjasama antara agensi serta penduduk di Bukit Assek.

Beliau berkata, Bukit Lima akan menjadi kawasan hijau apabila ia diisytiharkan sebagai simpanan semula jadi, sama seperti Taman Semula Jadi Piasau di Miri dan di Kuching, terletak berhampiran kawasan perindustrian bandar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru