Wednesday, June 29, 2022

Jangan dengar berita palsu tentang dos penggalak

Secara Rawak

MIRI: Pemberian vaksin dos penggalak kepada warga emas dan individu dengan komorbid dan orang awam di Bahagian Miri telah bermula 14 Oktober lalu.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kelulusan bagi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 keluaran Pfizer sekurang-kurangnya 6 bulan dos kedua Pfizer manakala untuk individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac pula sekurang-kurangnya 3 bulan selepas penerimaan dos kedua.

Sehingga kini, sebanyak 23,970 vaksin dos penggalak telah diberikan kepada masyarakat di Miri dengan Daerah Miri sebanyak 19,157 dos, Marudi 1,081 dos, Subis 2,701 dos, Beluru 619 dos dan Telang Usan 412 dos.

“Penerima vaksin penggalak sangat penting untuk memastikan kadar daya tahan imun yang baik terhadap COVID-19.

“Jangan terpedaya dengan khabar angin dan berita palsu yang diviralkan di media sosial bahawa dos penggalak ini adalah tidak selamat diterima.

“Sebaliknya, vaksin dos ini memang telah dikaji dengan kombinasi dua dos vaksin yang berbeza dan ianya telah diluluskan KKM dan pakar perubatan serta selamat digunakan,” katanya menerusi kenyataan media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) hospital dan klinik swasta di Miri pada Selasa.

Mengenai pemberian vaksin dos penggalak di hospital dan klinik swasta, Dato Sri Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menjelaskan sambutan yang diterima sangat baik dan orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin tersebut.

“Saya telah dimaklumkan pihak hospital bahawa terdapat warga emas yang lanjut usia berumur 99 tahun mendapatkan dos penggalak di Hospital Columbia Asia, 91 tahun di Miri CIty Medical Centre (MCMC) dan berumur 91 tahun di Klinik Lee.

“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera kepada nombor telefon yang berdaftar.

“Kita harus peka dengan informasi daripada MySejahtera dan pesanan SMS untuk temu janji vaksin,” ujarnya.

Hadir sama Pegawai kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Eong Siew Yu, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof dan jabatan serta agensi di bawah JPBB Miri.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru