Friday, August 19, 2022

BS Supermarket Lundu dapat anugerah

Secara Rawak

LUNDU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menyampaikan Anugerah Kedai Harga Patut kepada BS Supermarket Lundu.

Beliau memberitahu, anugerah tersebut adalah berdasarkan hasil penilaian pematuhan premis termasuk penjualan barangan pada harga patut, berkualiti dan menjadi pilihan pengguna.

“Anugerah ini bertujuan menggalakkan premis perniagaan untuk terus menitikberatkan perkhidmatan kepada pelanggan di samping menjual barangan dengan harga yang berpatutan serta kompetitif tanpa mengabaikan kualiti jualan,” katanya pada Ahad.

Dato Sri Alexander menambah, anugerah berkenaan adalah inisiatif kerajaan bagi meningkatkan akses secara lebih menyeluruh kepada barangan harga patut dan mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Antara objektif pelaksanaannya adalah untuk membantu pengguna mengenalpasti kedai-kedai harga patut, memberi pengiktirafan kepada premis yang menjual produk dan harga yang berpatutan serta kompetitif termasuk menggalakkan lebih banyak kedai harga patut,” ujarnya.

Dalam program lain, Dato Sri Alexander dan isterinya, Datin Sri Angelina Ujang turut memberikan sumbangan bakul makanan kepada 100 Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan penduduk Tanjong Datu.

Beliau menyampaikan sumbangan tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu untuk diagihkan kepada penduduk.

Turut hadir ialah Pengarah KPDNHEP Negeri Sarawak, Dato’ Stanley Tan, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru