Sunday, June 26, 2022

Selamatkan warisan etnik Sarawak

Secara Rawak

Sarawak mempunyai jumlah etnik atau suku kaum yang begitu banyak. Dianggarkan Sarawak mempunyai 27 etnik, lebih daripada satu per tiga daripada jumlah keseluruhan etnik di negara ini.

Bagi orang luar, termasuk malah dalam kalangan rakyat negara ini sendiri, ada daripada etnik itu tidak pernah didengar oleh mereka. Kalau tidak percaya tanya sepuluh orang daripada anak muda dan mana-mana penduduk di negara ini tentang etnik berikut.

Pernahkah mereka mendengar kewujudan etnik Ukit, Sihan, Tering, Lahanan, Sekapan, Kejaman, Longkiput, Saban, Remun, Baketan, Tagal, Lisum, Tering dan Tabun? Bagi kebanyakan rakyat, mereka hanya mendengar kaum Bidayuh, Iban, Kayan, Kenyah, Melanau, Melayu, Cina dan India.

Maksudnya, sebahagian besar tidak pernah mendengar, apatah lagi tahu perkara berkaitan dengan etnik minoriti berkenaan. Seyogia diingatkan, etnik ini mempunyai identiti sendiri. Mereka mempunyai sejarah, budaya, bahasa dan cara hidup yang unik. Sebahagian besar daripada etnik ini tinggal di kawasan pedalaman Sarawak.

Tentu amat malang jika kita tidak tahu dan tidak faham tentang etnik minoriti itu. Kita perlu berusaha untuk memperkenalkan etnik berkenaan kepada etnik-etnik lain di negara ini. Etnik lain juga perlu mengambil inisiatif untuk mengenali mereka. Tak kenal maka tak cinta.

Hal ini semakin penting dalam konteks konsep Keluarga Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri. Ini sesuatu yang malang dan tidak sepatutnya berlaku. Mengapakah perkara sedemikian berlaku? Mengapakah kita bagai tidak ambil peduli tentang kewujudan mereka? Adakah kerana mereka minoriti, maka ada yang menganggap kehadiran mereka bagai melukut di tepi gantang?

Justeru, kita perlu mengubah sikap kita. Kita perlu berusaha serius untuk lebih mengenali mereka. Kita perlu realisasikan makna Keluarga Malaysia yang sebenarnya. Harus diingat, ada daripada kaum berkenaan mempunyai jumlah kurang daripada 200 orang.

Ini ekoran daripada perkahwinan campur, migrasi ke bandar, modenisasi dan sebagainya. Bukan sesuatu yang mustahil jika ada daripada etnik ini pupus dalam beberapa dekad lagi. Ingat, pada suatu ketika dahulu, sebelum kedatangan Rajah James Brooke ke Sarawak pada 1841, Sarawak dikatakan mempunyai sekitar 60 kumpulan etnik.

Sebelum kedatangan Brooke, sesuatu kelompok tidak menggelarkan diri mereka mengikut nama kaum seperti yang kita kenali pada hari ini. Sebaliknya, setiap kelompok menggelarkan diri mereka mengikut batang sungai atau penempatan.

Ada daripada orang Melayu yang kita kenali pada hari ini sebenarnya berasal daripada kelompok kaum yang pada asalnya bukan beragama Islam. Ketika amalan kahwin campur dan amalan memeluk Islam berlaku di Sarawak sejak beratus-ratus tahun lalu sehingga suku ketiga abad lepas, ada yang menyifatkan mereka sebagai masuk Melayu, dan bukannya masuk Islam. Orang Pegu, Seru, Kedayan, Melanau dan Bliun dipercayai merupakan kaum bukan Melayu awal yang memeluk agama Islam di Sarawak

Hari ini, misalnya, kita tidak lagi mendengar nama etnik Pegu. Orang Pegu sebenarnya berasal dari hulu Sadong dan kemudiannya berhijrah ke Santubong. Orang Melayu Samarahan adalah daripada keturunan Pegu. Ternyata, orang Pegu juga telah ‘masuk Melayu’ apabila mereka memeluk agama Islam. Sebagai satu kaum, Pegu sudah lenyap daripada demografi Sarawak ekoran daripada proses asimilasi, amalgamasi dan akulturasi sesudah mereka memeluk agama Islam.

Asimilasi mutlak atau sempurna dalam kalangan kaum Pegu telah menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti sehingga kemudiannya mereka menjadi Melayu.

Sesungguhnya, kepupusan setiap etnik adalah satu kehilangan besar dari segi warisan bangsa. Jika sesuatu kumpulan etnik pupus, bermaksud hilang bersama kaum itu ialah khazanah yang amat berharga.

Apabila sesuatu etnik pupus, maka pupuslah juga bahasa, budaya, budaya benda, kepercayaan, adat resam dan seluruh memori kolektif kaum itu. Ini sesuatu yang merugikan, malah amat malang.

Maka, dalam konteks inilah langkah yang diambil oleh Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta di bawah Kursi Tok Nan adalah wajar, dan patut disambut baik semua pihak.

Langkah ini memperlihatkan komitmen dan kesedaran Kerajaan Sarawak tentang pentingnya segala hal yang berkaitan dengan etnik berkenaan diberi perhatian serius. Data, maklumat dan dapatan daripada kajian berkenaan nanti dapat disimpan dalam pangkalan data.

Banyak perkara dapat dikaji, termasuk sejarah, hubungan etnik berkenaan dengan etnik lain, ekonomi, sosial, bahasa, adat resam termasuk adat kematian dan perkahwinan, nilai, kearifan lokal berkaitan etnik itu, bagaimana mereka menggunakan flora dan fauna untuk ubat-ubatan, dan banyak lagi.

Bagi saya, data dan hasil kajian itu harus dikongsi seluas mungkin dengan seluruh rakyat Malaysia terutamanya di Sarawak. Untuk itu, ia tidak harus ditulis dalam bentuk kajian ilmiah semata-mata, tetapi juga dalam bentuk rencana dan buku, serta dalam bentuk video dan bahan-bahan lain supaya dapat disiarkan melalui media baharu dan Internet.

Alangkah baiknya, kalau setiap kaum di Sarawak ini nanti ada sebuah buku sebagai permulaan, berkaitan hal-hal asas tentang etnik itu. Kita belum terlambat walaupun kita melakukannya agak terlewat. Akhirnya nanti, kita ingin menyaksikan sekurang-kurangnya 27 buku tentang setiap etnik di negeri ini.

Kita perlu menetapkan sasaran jelas. Ya, dalam tempoh sepuluh tahun, semua 27 etnik di Sarawak sudah dikaji dan ada dokumentasinya. Jadi, peruntukan dan kajian tentang etnik di Sarawak perlu diteruskan. Maksudnya, peruntukan berkenaan tidak harus dihentikan sehingga semuanya selesai.

Selepas kajian selesai, ada baiknya, seminar atau persidangan diadakan untuk membentangkan hasil penyelidikan agar dapat dikongsikan dalam kalangan sarjana, penyelidik, penulis, peminat budaya dan sebagainya.

Ini selari dengan pandangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang ingin melihat warisan budaya dan khazanah daripada pelbagai etnik itu tidak dilupakan atau ditinggalkan. Kita perlu memastikan kekayaan budaya di Sarawak terus dipelihara, dipulihara dan dilestarikan. Kita perlu bangga dengan aset dan khazanah budaya etnik kita. Hidup Keluarga Malaysia!

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru