Thursday, May 19, 2022

Masyarakat Kayan Long Laput bakal miliki rumah panjang baharu

Secara Rawak

BARAM: Masyarakat Kayan di Long Laput di sini bakal memiliki sebuah rumah panjang baharu serta moden menerusi projek perumahan rakyat di pedalaman.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Datuk Openg berkata, projek perumahan rumah panjang 165 pintu itu adalah di bawah skim Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Menurut beliau, projek rumah panjang tersebut juga akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang penduduk apabila ia siap kelak.

“Ini merupakan salah satu bukti kepada projek rakyat yang kita janji sebelum ini, dan kini kita (kerajaan negeri) tunaikan janji untuk rakyat.

“Apabila saya berjanji, saya akan menunaikan janji dan hari ini saya datang untuk menyempurnakan upacara mendirikan tiang rumah baharu rumah panjang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Adet Negereng Jihe’ Uma Maring atau Mendirikan Tiang Rumah Baharu Bagi Rumah Panjang Temenggong Elizabeth Deng, Long Laput pada Ahad

Sementara itu, Ketua Menteri memberitahu, kerajaan Sarawak mempunyai dasar yang jelas dalam merencanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat di negeri ini termasuk di kawasan Baram.

Jelas beliau, Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) akan merancakkan lagi pembangunan kawasan tanah tinggi di Baram.

“HDA akan merancang dan melaksanakan projek yang kita kenalpasti untuk membangunkan kawasan Baram termasuk pembangunan jalan raya yang akan menghubungi semua kawasan rumah panjang di situ.

“Kita mahu setiap penempatan rumah panjang dihubungi dengan jalan raya sekaligus membuka lebih banyak kawasan pertanian yang akan memberi impak positif dari sudut ekonomi,” ujarnya.

Dalam majlis sama, Ketua Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pendawaian semula rumah panjang sedia ada.

Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi pembangunan rumah warisan dan khazanah bagi rumah panjang tersebut.

Turut diluluskan, peruntukan berjumlah RM500,000 menerusi HDA bagi pembangunan kawasan pertanian di Baram.

Hadir dalam majlis tersebut ialah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato’ Gerawat Gala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, Ketua Masyarakat Kaum Kayan Bahagian Miri, Temenggong Elizabeth Deng serta tetamu kehormat lain.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru