Friday, August 19, 2022

Pemergian James Masing sukar diterima – Alexander Nanta Linggi

Secara Rawak

LUNDU: Pemergian Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing sukar untuk diterima, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.

Alexander ketika ditemui berkata, akhir-akhir ini terutamanya tahun ini, walaupun pergerakan terhad disebabkan Covid-19, tetapi James Masing dan beliau berasa semakin rapat kerana sentiasa berhubung melalui Whatsapp dan panggilan telefon.

Beliau mengimbas kembali, sebelum pandemik Covid-19, James Masing akan menelefonnya setiap masa pada awal pagi untuk bersarapan atau sekadar berbual secara umumnya tentang Kapit dan kadangkala mengenai perkara-perkara tertentu.

“Kami datang dari tempat yang sama iaitu Kapit dan sememangnya Tan Sri Dr James akan dirindui oleh kita semua,” ujarnya.

Katanya, pemergian James Masing sememangnya agak sukar untuk diterima, terutamanya cara beliau pergi kerana dalam tempoh sebulan yang lepas kita tidak mendengar banyak khabar daripada beliau.

“Kita tidak banyak mendengar khabar daripada beliau (James Masing) sejak beliau dalam pendedahan Covid-19.

“Pemergiannya sangat menyentuh dan benar-benar tidak mudah diterima,” katanya sambil menahan sebak atas pemergian James Masing yang juga merangkap Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini semasa mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Lundu dan Sematan, hari ini.

Baginya, beliau mengenali James Masing bukan sahaja sebagai seorang pemimpin tetapi turut mengenalinya secara peribadi dan mengakui James Masing sebagai tokoh penting dalam arena politik.

“Beliau adalah seorang tokoh yang sangat penting dalam arena politik terutamanya dalam hubungan politik Dayak.

“Saya percaya beliau akan sangat dirindui, bukan sahaja dalam arena politik tetapi juga oleh rakyat secara keseluruhannya, terutamanya bagi rakyat di Kapit,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru