Sunday, November 27, 2022

Masing dikenali sebagai pemimpin lantang, berani

Secara Rawak

BINTULU:  Pemimpin politik dari seluruh  negara merakamkan ucapan takziah dan  kesedihan  atas pemergian Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom menyifatkan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan  Pembangunan Pelabuhan itu sebagai kehilangan besar kepada GPS dan masyarakat Dayak.

“Saya berasa amat sedih mendengar pemergian Tan Sri James Jemut Masing, seorang pemimpin Iban yang disegani,” katanya.

Beliau menyifatkan pemergian presiden Parti Rakyat Sarawak  (PRS) itu sebagai satu kehilangan besar bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan masyarakat Dayak secara keseluruhannya.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan semoga roh mendiang bersemadi dengan tenang,” katanya.

Masing yang merupakan Timbalan Ketua Menteri disahkan meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi selepas disahkan positif Covid-19.

Pelbagai pihak menyifatkan Masing  sebagai pemimpin intelektual Iban yang berani, tegas dan lantang bersuara.

Sementara itu, di Kuching, suasana hiba dan duka menyelubungi kediaman mendiang di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini hari ini.

Ahli keluarga terdekat mendiang didapati mula menziarahi keluarga  pemimpin terkenal itu.

Masing, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini,  pagi tadi.

Adun Baleh lapan penggal sejak 1983  itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak selepas disahkan positif Covid-19 pada 28 September lalu.

Kemudian mendiang dipindah ke Pusat Perubatan Normah untuk rawatan lanjut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru