Sunday, July 3, 2022

TYT  Tun Taib jumpa Agong sebelum DUN Sarawak bubar

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud   perlu terlebih dahulu mengadakan pertemuan  dengan Yang di-Pertuan Agung  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  berhubung PRN-12 Sarawak.

Beliau berkata demikian semalam ketika ditanya media tentang perancangan menghadap baginda.

Sebelum itu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Negeri bagi Kampung Semariang di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu di sini.

Jawapan Abang Johari itu sekali gus menyangkal laporan media sebelum ini bahawa beliau sudah menghadap Agong pada 28 Okt.

Ketika ditanya sama ada Tun Taib akan menghadap Agong dalam waktu terdekat, Abang Johari berkata: “Perkara itu terserah kepada Agong.”

“Tidak, tidak ada pertemuan dengan Agong, dan saya hanya menghadap  timbalan baginda, Sultan Nazrin Shah,” jelasnya.

“Yang di-Pertuan Agong baru tiba di tanah air selepas mengadakan kunjungan ke United Kingdom. Malah, baginda masih lagi mahu melihat maklumat tentang keadaan Covid-19,” katanya lagi.

Perjumpaan dan perkenaan Agong perlu untuk menarik balik proklamasi Darurat yang berkuat kuasa di Sarawak sehingga 2 Feb 2022 sebelum PRN-12 boleh diadakan.

Namun, kini bertiup kencang bahawa DUN akan dibubarkan Selasa depan manakala PRN dijangkakan diadakan pada 27 Nov.

DUN Sarawak telah berakhir pada 6 Jun lalu tetapi disebabkan proklamasi Darurat yang berkuat kuasa dari 12 Jan hingga 1 Ogos, maka DUN tidak dibubarkan pada 7 Jun.

Darurat dikuatkuasakan dari 2 Ogos hingga 2 Feb depan. PRN Sarawak tidak dapat diadakan selagi proklamasi Darurat tidak ditarik balik dan kuasa itu terletak di tangan Agong.

Sebanyak 82 kerusi bakal direbut dalam PRN itu nanti dengan sekurang-kurangnya  enam parti pembangkang bertempur dengan calon GPS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru