Tuesday, June 28, 2022

Tiga penyair tersohor terima Anugerah Penyair Gapena

Secara Rawak

Tiga orang penyair menerima Anugerah Penyair GAPENA 2021 dalam majlis  pelancaran Hari Puisi Nasional (HPN) ke-21 di sini, petang semalam yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor,  Datuk Hasni Mohammad.

Penyair  prolifik Ahmad Sarju, Mahaya Mohd Yassin dan Shapiai Muhammad Ramly menerima watikh pengiktirafan, penerbitan buku, wang tunai dan ruang perbincangan karya, lapor Jendela DBP.

Ahmad Sarju, penyair dari Klang, Selangor, mula berkarya pada tahun 1970-an dengan hasil tulisan awalnya diterbitkan dalam majalah Mutiara di Singapura. Beliau kerap memenangi pelbagai hadiah sastera sejak 1970-an, malah dinobatkan sebagai Tokoh Penulis Selangor pada tahun 2013. Sehingga kini, beliau sudah menghasilkan lebih 10 kumpulan puisi.

Mahaya pula bukan sahaja dikenali sebagai seorang penyair, sebaliknya sebagai pendidik dan aktivis seni.

Beliau mantan Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan sejak tahun 2006 hingga 2020 bukan hanya menulis puisi, tetapi juga cerpen, buku kanak-kanak dan juga naskhah akademik.

Beliau juga merupakan Munsyi Dewan.

Sementara itu, Shapiai  dari Perak tetapi menetap di Johor sejak tahun 1970-an, puisi Shapiai kerap menambat hati juri hingga membolehkannya kerap memenangi pelbagai hadiah sastera. Antara naskhah kumpulan puisi tulisan beliau termasuk Aku Ingin Berbeka-Beka dengan-Mu.

Anugerah Penyair GAPENA diadakan sebagai resolusi HPN ke-9 di Sematan, Sarawak yang mencadangkan GAPENA hendaklah menamakan penyair pilihan pada setiap acara HPN.

Anugerah ini kemudiannya mula diberikan pada tahun 1987 dalam sambutan HPN di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada majlis yang sama, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, Ketua Dua GAPENA merangkap Pengerusi Hari Puisi Nasional ke-21, berjaya merangkul Anugerah Penyair Johor.

Hasni Mohammad yang turut merasmikan majlis telah melancarkan lima judul buku sastera baharu, iaitu antologi puisi Gema Membelah Gema 19, Munajat untuk Palestin, Anugerah Penyair GAPENA, kumpulan puisi Layar Juang, dan Soneta Pohon Zaitun.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru