Friday, July 1, 2022

RM8 juta biayai 12 projek Motac di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Sejumlah RM8.002 juta diperuntukkan oleh kerajaan di bawah Bajet Pembangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) bagi membiayai 12 projek di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tiga daripada projek tersebut termasuk projek ekopelancongan seperti Peningkatan Kemudahan Pelancongan Lumpur Berbuak di Meritam, Limbang.

“Motac menggubal Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 bagi memulih dan mengembalikan daya saing industri pelancongan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol mengenai peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi segmen eko pelancongan di Sarawak, pada Khamis.

Mengulas lanjut Nancy berkata, Motac menggubal Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 bagi memulih dan mengembalikan daya saing industri pelancongan negara.

“Dasar ini merupakan agenda transformasi yang menumpukan usaha meningkatkan pendapatan negara, menggalakkan kerjasama dan pelaburan, memperkasa masyarakat setempat serta mengukuhkan daya tahan dan kemampanan industri pelancongan negara,” jelasnya.

Tambahnya, menerusi DPN, MOTAC juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan pilihan dunia.  “ Ia memandangkan Malaysia merupakan antara 17 negara dikenali sebagai negara megadiversiti kerana kekayaan kepelbagaian flora dan fauna,” katanya lagi.

Justeru, tumpuan akan diberikan kepada pelancongan lestari dan bagi tujuan tersebut, segmen ekopelancongan menjadi fokus utama MOTAC terutamanya dalam merancakkan semula industri pelancongan.

“Hal ini selaras Pelan Ekopelancongan Kebangsaan yang merangkumi strategi dan pelan tindakan bagi memastikan kelestarian produk ekopelancongan negara kekal mampan,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru