Sunday, July 3, 2022

Permintaan produk kayu meningkat

Secara Rawak

KUCHING: Perladangan hutan di Sarawak mesti diuruskan secara komited dan lestari dalam memenuhi permintaan produk kayu yang semakin meningkat bagi mengelakkan keluasan hutan semakin berkurangan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, justeru Sarawak komited memelihara keseimbangan hutan termasuk pemuliharaan biodiversiti dan fungsi ekosistem dengan memperoleh kayu daripada sumber lain.

“Perladangan hutan menawarkan sumber kayu yang menjanjikan hasil dan diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap hutan semula jadi di negeri ini. “Dalam masa yang sama mengurangkan kesan rumah hijau,” katanya ketika merasmikan Webinar Akasia Kesatuan Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (IUFRO) Ke-3 2021 di sini, pada Selasa.

Menurut Abang Johari, perladangan hutan juga diiktiraf sebagai penting dalam pendekatan strategik bagi pengurusan sumber hutan yang mampan. “Memandangkan trend pengeluaran balak dari hutan semula jadi tropika kita menurun, amat penting untuk meningkatkan skala operasi dan produktiviti hutan dengan cekap.

“Ini bagi menghasilkan kayu balak yang berkualiti dan mencukupi untuk mengimbangi kekurangan bekalan balak dari hutan semula jadi,” ujarnya. Tambah Abang Johari, sejak 1996 lagi, Sarawak memulakan penanaman hutan secara besarbesaran sebagai strategi jangka panjang ke arah menyediakan sumber baharu kayu untuk industri berasaskan perkayuan di negeri ini.

“Dengan penanaman spesies kayu yang cepat membesar, kerajaan negeri berharap untuk mewujudkan satu juta hektar industri hutan menjelang 2025. “Di samping itu, Sarawak juga mempunyai kelebihan sendiri kerana salah satu daripada hutan hujan tertua di dunia yang dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun.

“Sudah tentu dengan usia ini, kita kaya dengan kepelbagaian spesies yang telah mencipta pelbagai biokimia yang boleh memberi manfaat kepada manusia,” katanya lagi.

Ujar Abang Johari, kelebihan itu juga dimanfaatkan lebih 28 etnik komuniti di negeri ini dengan belajar menggunakan tumbuhan biodiversiti seperti untuk makanan, ubat-ubatan, kesihatan dan tempat tinggal.

Sementara bercakap mengenai inisiatif hutan global, Abang Johari menegaskan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beberapa negara dan negeri juga telah mewujudkan usaha untuk menggalakkan perluasan penanaman hutan atau mengukuhkan perlindungan hutan sedia ada.

“Yang paling ketara adalah Forum Ekonomi Dunia tahun lalu yang mengumumkan inisiatif untuk menanam, memulihkan dan memulihara satu trilion pokok di seluruh dunia.

“Mungkin bukan semua ini akan menjadi hutan baharu, tetapi jika berjaya ia akan berjumlah satu bilion hektar hutan – memperluaskan kawasan hutan global sebanyak 25 peratus – pada kadar stok anggaran 1,000 pokok sehektar,” katanya.

Tambahnya, sementara bagi menyokong inisiatif itu di Malaysia telah melancarkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok untuk tempoh 2021 hingga 2025 sebagai sebahagian daripada program Penghijauan Malaysia.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru