Saturday, December 4, 2021

Penipuan pekerjaan pendapatan lumayan di Facebook

Secara Rawak

PADAWAN: Dua wanita tempatan mengalami kerugian sebanyak RM4,497 kerana diperdaya dan ditipu dalam dua kes tawaran pekerjaan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kes pertama membabitkan seorang wanita berumur 30 an, seorang pekerja swasta ditipu pada pertengahan Oktober lalu.

Katanya, mangsa yang berada di rumahnya di Kuching telah diperdaya dan ditipu dengan tawaran pekerjaan dalam talian menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,200.

Beliau berkata, menurut mangsa, suspek membuat pengiklanan pekerjaan dalam Facebook.

“Semasa melayari Facebook, mangsa terbaca iklan tersebut dan menekan pautan yang disediakan.

“Mangsa telah menghubungi seorang lelaki bernama Roland melalui nombor Whatsapp yang diberikan dan suspek menawarkan pekerjaan sambilan melalui Facebook,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi melengkapkan permohonan, mangsa telah diminta memuat turun aplikasi Lazada melalui pautan yang diberikan dan diarahkan membuka akaun baharu serta diminta untuk membuat bayaran barangan bagi mendapatkan komisyen.

“Mangsa diminta membuat bayaran ke akaun CIMB Bank nombor 707049XXXX
atas nama Roland Phang Jar Wei dan mangsa telah bayar secara dalam talian sebanyak dua kali transaksi yang kesemuanya berjumlah RM2,200.

“Mangsa menyedari dirinya di tipu apabila diminta lagi membuat bayaran sebanyak
RM2,500.00 untuk tambah komisyen,” katanya.

Sementara, Abang Zainal Abidin berkata kes kedua melibatkan mangsa, berumur 25 tahun mengalami kerugian sebanyak RM2,297.

Katanya, mangsa yang sedang menggangur ditipu pada lewat bulan Oktober lalu ketika sedang berada di rumahnya di Daerah Padawan.

Tambahnya, mangsa telah berhubung dengan seorang lelaki bernama Jackson
melalui whatsapp bernombor 01140458862 iaitu individu yang menawarkan
pekerjaan sambilan melalui Facebook.

“Bagi melengkapkan permohonan, mangsa telah diminta memuat turun
aplikasi Lazada melalui pautan yang diberikan dan diarahkan membuka akaun baharu serta diminta untuk membuat bayaran barangan bagi mendapatkan komisyen.

“Mangsa telah diminta untuk buat bayaran ke akaun Bank Islam nombor 0604602372XXXX atas nama Muhammad Khairul Ezani Bin Remli dan mangsa telah membuat pembayaran secara talian sebanyak dua kali yang kesemuanya berjumlah RM2,297,” katanya.

Beliau berkata, mangsa merasakan telah ditipu apabila diminta lagi buat bayaran
RM2,500 untuk tambah komisyen.

Sehubungan itu, Abang Zainal Abidin menasihatkan orang ramai jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan dan maklumat peribadi ke dalam pautan yang tidak sahih.

Beliau berkata sentiasa berwaspada dengan modus operandi penjenayah terutama ketika berhubung secara dalam talian tanpa berjumpa bersemuka kerana
kita tidak mengetahui identiti sebenar pemanggil yang menawarkan
pekerjaan dalam talian.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika mengisi butir-butir peribadi ke dalam link yang diberikan dalam talian di facebook.

“Buat semakan dengan terperinci sebelum bertindak dan semakan nombor
akaun yang diberikan oleh pemanggil bagi mengesahkan pemilik akaun tersebut ada terlibat dalam kes jenayah lain atau sebaliknya,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru