Sunday, July 3, 2022

UNIFOR jaga kebajikan agama-agama lain di Sarawak

Secara Rawak

MIRI: Miri Buddha Meditasi Society menerima peruntukan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM200,000 bagi tujuan pembesaran, kecantikan dan menaik taraf kemudahan atau bangunan kuil Buddha tersebut.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, UNIFOR ditubuhkan menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat yang menganut agama-agama lain di Sarawak. 

Pada tahun ini UNIFOR telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi menyediakan kemudahan rumah ibadat untuk pelbagai agama di Sarawak. 

“Sebagai wakil rakyat kepada komuniti pelbagai kaum dan kepercayaan, kita harus berkhidmat untuk semua tanpa mengira latar belakang, bangsa dan ugama agar perpaduan, keharmonian, keamanan, ketenteraman, kestabilan serta konsep keluarga Sarawak dapat dikecapi. 

“Peruntukan daripada INIFOR ini merupakan tahun ke tiga untuk kuil Buddha ini dengan jumlah keseluruhan RM600,000.

“Selain itu, kuil Buddha ini turut menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM50,000 daripada ADUN Senadin pada Ogos 2021 dan peruntukan yang sama pada 2019 dan 2020,” katanya menerusi kenyataan media selepas menyerahkan cek UNIFOR kepada Jawatankuasa Miri Buddha Meditasi Society pada Ahad. 

Mengulas lanjut, Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata Projek Menaik Taraf Kuil Buddha ini masih pada tahap satu.

“Ketika ini projek terbabit masih pada tahap 1 ialah kira-kira 20 peratus yang merangkumi pembinaan beberapa gabion batu sebagai asas dan kerja-kerja pembinaan perlindungan cerun.

“Seorang penderma yang tidak didedahkan telah menderma sebidang tanah seluas satu ekar bagi memudahkan kerja-kerja menaik taraf kuil Buddha ini,” ujarnya.

Apabila siap kelak, bangunan kuil Buddha ini yang terletak di puncak bukit Kanada ini akan menjadi mercu tanda baharu bandaraya Miri sekali gus membantu meningkatkan ekonomi dan industri pelancongan di Miri.

Hadir sama dalam penyerahan itu Ketua Persatuan Chua Soon Teng dan ahli-ahli Jawatankuasa Miri Buddha Meditasi Society.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru