Sunday, June 26, 2022

Kemahiran keusahawanan wanita, golongan muda perlu ditingkatkan

Secara Rawak

SADONG JAYA: Program MyCSR melalui Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) secara langsung dapat meningkatkan pendapatan serta taraf ekonomi komuniti secara keseluruhannya.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata kementeriannya melalui MyCEB di bawah program MyCSR @ Batang Sadong akan menyediakan kelengkapan dan peralatan pembuatan pastri dan bakeri bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran oleh usahawan Wanita di kawasan Batang Sadong.

Menurutnya, objektif Program MyCSR @Batang Sadong ini adalah untuk membantu meningkatkan serta memperkasakan tahap kemahiran keusahawanan wanita serta golongan muda.

“Inisiatif ini penting supaya mereka dapat berdikari dan mempunyai keupayaan kewangan yang stabil melalui projek perkomersilan memasak atau katering,” katanya semasa berucap dalam Program MYCSR@Batang Sadong sempena Meeting in Malaysia @Sarawak di Sadong Jaya pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menjelaskan, bahawa MyCSR adalah program yang dibangunkan oleh MyCEB, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Katanya, ia merupakan satu platform bagi para delegasi acara perniagaan iaitu persidangan, konvensyen, mesyuarat serta kumpulan insentif korporat, untuk menyumbang tenaga, kepakaran serta kewangan bagi membantu serta menaiktaraf sosio-ekonomi masyarakat.

“Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, penglibatan para delegasi acara perniagaan di dalam program MyCSR bukan sekadar menyalurkan sumbangan.

“Malah ianya bakal mewujudkan jalinan persahabatan dengan komuniti baru, berkongsi pengalaman unik serta memberikan inspirasi kepada segenap lapisan msyarakat lain untuk sama-sama berkongsi kelebihan masing-masing kepada yang memerlukan,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia selaku Ketua Pengurusan Malaysia Convention & Exhibition Bureau, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat serta tetamu jemputan lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru