Sunday, May 29, 2022

Bila DUN Sarawak bubar? PRN kian dekat…

Secara Rawak

Sejak beberapa hari ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, banyak menggunakan analogi dalam ucapan dan juga ketika menjawab soalan media tentang spekulasi bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan dalam waktu terdekat.

Analogi ialah perbandingan antara dua perkara atau keadaan yang mempunyai persamaan dalam beberapa aspek tertentu. Dalam kaedah eksposisi, istilah ini dikaitkan apabila sesuatu idea atau perkara dijelaskan dengan membandingkannya dengan perkara atau idea yang lebih biasa untuk memudahkan khalayak memahaminya.

Pada Jumaat, dengan menggunakan analogi permainan bola sepak, beliau menyatakan bahawa GPS kini bagai bermain dalam waktu kecederaan atau waktu tambahan selepas waktu permainan penuh selesai. Hanya menunggu masa lagi untuk melakukan sepakan penalti.

Sehari sebelum itu, ketika di Sri Aman, Pengerusi GPS itu menggunakan analogi , iaitu bagaimana beduk hanya menunggu masa sahaja untuk dipalu.

Desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 bertiup kencang apabila pelbagai portal berita meramalkan DUN Sarawak dibubarkan pada Jumaat lalu.
Semua itu tidak menjadi kenyataan apabila Ketua Menteri menafikan spekulasi dan khabar angin berkenaan.

Namun, di sebalik penafian Ketua Menteri itu, spekulasi tetap tidak kunjung reda, sebaliknya terus bertiup kencang bagai tidak dapat dikekang.

Mungkinkah pembubaran itu dilakukan minggu ini atau minggu depan? Ini bukan sesuatu yang mustahil. Malah, segala petanda menuju ke arah itu.

Ini memang dapat dimengerti, apatah lagi PRN-12 Sarawak sepatutnya sudah diadakan pada akhir tahun lalu. Pasti, rakyat dan pemerhati akan terus berteka-teki tentang bilakah DUN akan dibubarkan, bilakah hari penamaan calon, dan bilakah pula PRN-12 diadakan.

Pertama, Ketua Menteri mengakui bahawa beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk limpah perkenan bagi cadangan pembubaran DUN. Seyogia diingat, sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, PRN boleh diadakan pada bila-bila masa, dengan Abang Johari hanya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk pelepasan Proklamasi Darurat.

Apakah agenda utama Ketua Menteri menghadap Agong, kalau tidak kerana ada kaitan dengan PRN-12?

Kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang giat mengadakan latihan untuk petugas pilihan raya mulai 21 Okt lalu. SPR sudah membentangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat, 22 Okt 2021. Pasti, SOP ini juga sesuai diamalkan di Sarawak nanti mungkin dengan beberapa penambahbaikan.

Ketiga, kadar vaksinasi di Sarawak antara yang terpantas, dan kini lebih daripada 91 peratus untuk individu dewasa. Ini juga pasti akan dapat melahirkan keyakinan dalam kalangan rakyat dan pengundi

Keempat, jumlah Covid-19 di Sarawak semakin menurun memperlihatkan bahawa program vaksinasi berkesan dalam membendung penularan virus Covid-19.

Kelima, Belanjawan 2022 yang besar telah diumumkan dengan menghimpunkan semua wakil rakyat GPS telah diadakan dua minggu lalu.

Keenam, pelbagai parti politik difahamkan telah menggerakkan jentera akar umbi parti sebagai persiapan menghadapi PRN. Baik di pihak GPS mahupun pembangkang, pasti telah bersedia sejak tahun lalu.

Ketujuh, Perdana Menteri berada di Sarawak semalam, sekali gus melancarkan program Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching. Mengapa Sarawak? Tentu bukan hanya kerana Sarawak contoh terbaik keharmonian hubungan etnik, tetapi terdapat agenda lain di sebaliknya.

Kelapan, sebelum ini, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, GPS bersedia untuk melaksanakan proses demokrasi ini.

Kesembilan, kalau PRN di Melaka boleh diadakan, apakah justifikasi kuat untuk tidak mengadakan PRN Sarawak?

Di Sri Aman pada Khamis, Ketua Menteri bagai memberi bayangan bahawa PRN-12 sudah hampir. Anda hanya perlu membaca subteks atau makna di sebalik kenyataan berikut.
‘’Jadi beduk sudah hampir berbunyi, macam-macam cerita nanti akan keluar, tapi saya serahkan kepada anda semua untuk menilai, ini bukan untuk saya, tetapi untuk negeri kita.”

‘’Keputusan ini terpulang kepada rakyat namun sekiranya kalian mahu melihat negeri kita tidak maju, terpulang kepada anda semua,” katanya.

Ya, segala petanda menunjukkan bahawa PRN bakal diadakan pada tahun ini. GPS tentu tidak mahu memerintah atas mandat yang dipinjamkan atau dilanjutkan kerana darurat. PRN dijangka diadakan pada penghujung bulan November atau selewat-lewatnya pada awal Disember ini.

Pada 2016, DUN Sarawak dibubarkan pada 11 April untuk memberi laluan kepada PRN-11. Ketika itu, BN menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam DUN, manakala DAP 12, PKR (3) dan Bebas (1). Proses penamaan calon adalah pada 25 April manakala hari mengundi pada 7 Mei 2016. Maksudnya, dari hari pembubaran hingga hari pengundian mengambil tempoh 27 hari.

PRN-11 menyaksikan pertambahan 11 kerusi DUN berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri ini. Kerusi berkenaan ialah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

Sejumlah 22 calon wanita akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) berbanding 16 pada pilihan raya pada 2011.

Pada PRN-12 , terdapat 1.14 juta pemilih berdaftar termasuk 1.11 juta pengundi biasa. BN memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN. BN bertanding di 80 Dun, PKR (40 Dun), DAP (31 Dun), Parti Amanah Negara (13 Dun), Pas (11 Dun), STAR (11 Dun), PBDS Baru (5 Dun) selain 35 calon Bebas turut bertanding.

DAP menang tujuh kerusi manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi ditandinginya. Sebanyak 70.01 peratus atau 777,018 pengundi berdaftar membuang undi pada PRU-11, termasuk pengundi pos yang melibatkan anggota keselamatan.

Kini, PKR tiada lagi wakil di DUN apabila kesemua tiga Adunnya — Ba Kelalan, Krian dan Batu Lintang — melompat parti. Empat lagi parti yang bertanding iaitu Pas, Parti Amanah Negara, Parti Reformasi Sarawak dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru gagal memenangi sebarang kerusi. Manakala kesemua 35 calon Bebas kalah.

Selepas PRU-14, BN Sarawak yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP keluar daripada BN untuk menubuhkan GPS pada 12 Jun 2018.

Persoalannya, mampukah GPS menambah kerusi dan memenangi lebih daripada dua per tiga majoriti dalam PRN-12 nanti? Berapa banyakkah muka baharu bakal ditampilkan? Berapa orang pula penyandang bakal digugurkan? Adakah calon Bebas dapat memenangi sebarang kerusi atau semua mereka akan berputih mata?

Berapa peratuskah pula pengundi yang akan turun mengundi? Apakah prosedur operasi standard yang bakal diperkenalkan SPR? Berapakah agaknya jumlah calon dan parti yang bertanding nanti? SPR tentu sudah merumuskan SOP ketat dan mempunyai tatapelakuan pengundi demi menjaga keselamatan mereka dan menjamin peratusan mengundi lebih daripada 70 peratus.

Inilah antara persoalan menarik di sebalik spekulasi dan teka-teki mengenai PRN-12 nanti.
Ya, adakah pemain dan wakil GPS berjaya merembat bola ke dalam gawang lawan? Berjayakah mereka menyepak bola ke sasaran? Berapa golkah daripada 82 sepakan mampu dijayakan dengan bergaya?

Dr Jeniri Amir

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru