Sunday, December 5, 2021

Seorang remaja maut, seorang lagi parah dalam kemalangan di Selangau

Secara Rawak

MUKAH: Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang berlanggar dengan sebuah pancuan empat roda di Jalan Dijih-Selangau di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 9 pagi ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan melalui Jalan Dijih -Selangau.

“Setibanya di jalan tersebut secara tiba-tiba mereka memasuki laluan bertentangan dan berlaku pertembungan dengan kereta pancuan empat roda yang bergerak lurus dari Dijih ke Sebakong.

“Akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal mengalami cedera parah di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Klinik Kesihatan Selangau,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut, manakala rakannya dikejarkan ke Hospital Sibu.

Dedahnya lagi kedua-dua mangsa merupakan pelajar lelaki berusia 13 tahun dan masing-masing tidak menggunakan topi keledar sewaktu kejadian.

Penunggang juga ujarnya tidak memiliki lesen memandu.

Bagaimanapun pemandu pancuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan dan motosikal yang dipandu mengalami kerosakan sepenuhnya akibat pelanggaran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru