Sunday, December 5, 2021

RM1 juta FELCRA belanja untuk aktivti sosial di Sarawak

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: FELCRA telah membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk aktiviti-aktiviti sosial dan kerja-kerja pembaikan di Negeri Sarawak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, selain daripada terlibat dalam urusan perniagaan yang melibatkan kelapa sawit, FELCRA juga mempunyai mandat sosial yang perlu dilakukan.

“Selain daripada FELCRA terlibat dalam urusan perniagaan yang melibatkan kelapa sawit tetapi FELCRA juga mempunyai mandat sosial yang perlu dipenuhi oleh FELCRA.

“Saya yakin FELCRA boleh membuat dengan lebih baik untuk masa depan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Peserta FELCRA di Kampung Empila, Kota Samarahan pada Sabtu.

Mahdzir menambah, kementeriannya juga kini sedang mencari penyelesaian yang berkaitan dengan dividen untuk masyarakat kampung.

“Dalam dua tahun lepas, harga kelapa sawit rendah dan juga pandemik COVID-19.

“Jadi tahun ini dan mendatang mungkin keadaan pandemik ini lebih baik dan harga kelapa sawit berada pada tahap dividen yang boleh diberi itu lebih memuaskan untuk peserta FELCRA,” jelas beliau lagi.

Dalam majlis sama, Mahdzir telah menyerahkan replika kunci siap kerja baik pulih Dewan Masyarakat Kampung Empila kepada Penghulu Kampung Empila, Man Nasa dan peruntukan dewan tersebut adalah di bawah Program Perlengkapan Kampung-Ameniti Sosial tahun 2020 berjumlah RM100,000 yang telah siap pada Disember tahun lepas.

Beliau turut menyampaikan geran ‘Mock Cheque’ Perlengkapan Kampung (Ameniti Sosial) Tahun 2021 FELCRA Berhad Wilayah Sarawak berjumlah RM775,800 kepada Tuai Rumah Sili Bunsi selaku wakil penerima geran berkenaan yang melibatkan kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf bangunan awam sebanyak 10 buah projek baik pulih di kampung peserta FELCRA Berhad di Sarawak.

Turut disampaikan geran ‘Mock Cheque’ berjumlah RM48,800 kepada enam orang usahawan bimbingan FELCRA Berhad Wilayah Sarawak yang diwakili oleh usahawan jahitan daripada Kampung Senah Rayang Tebedu, Mardhiah Abdullah.

Geran tersebut di bawah pakej Program Perlengkapan-Premis Perniagaan untuk 2021 dengan objektif utama membantu meningkatkan pendapatan dan produktiviti produk yang dikeluarkan oleh enam usahawan tersebut.

Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan sumbangan Prihatin FELCRA Berhad berjumlah RM63,650 berbentuk bakul makanan dan sebuah kerusi roda kepada peserta FELCRA Berhad yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal untuk 631 orang peserta FELCRA Berhad di Sarawak.

Manakala RM30,050 lagi untuk pembaikan bengkel tenunan songket WADIRA Kampung Mang dan RM8,500 untuk pembaikan tambahan luar Dewan Kampung Empila, Kota Samarahan di mana keseluruhan sumbangan prihatin FELCRA Berhad ini berjumlah RM102,200 di negeri ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pertanian (MANDRED) Sarawak, Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Norison Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Dato’ Mat Roni Zakaria, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu dan Penghulu Kampung Empila, Man Nasa.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru