Thursday, December 9, 2021

RISDA salur bantuan kepada pekebun kecil getah di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: RISDA Sarawak memperuntukkan RM51.02 juta untuk disalurkan kepada 114,171 pekebun kecil getah di wilayah itu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan bantuan itu  bagi program kawasan  bertanam  getah, aktiviti ekonomi tambahan, (AET), pembangunan produktiviti dan agromakanan.

“Program tanam semula getah dilihat mendapat sambutan daripada pekebun kecil setelah bantuan tersebut ditingkatkan kepada RM14,805 sehektar berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13,500 sehektar.

“Seluas 1,301 hektar berjaya ditanam semula yang memberi manfaat kepada seramai 1,504 orang pekebun kecil di Negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan RISDA dan Quickwin KEMAS di sini hari ini sempena lawatan kerja tiga hari ke Wilayah Sarawak.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Tambah Mahdzir, seluas 6,163 hektar lagi tanah pekebun kecil yang melaksanakan program tanam semula pada tahun sebelumnya masih diteruskan bantuan pada tahun ini dengan 14 kawasan Tanam Semula Berkelompok (TSB) turut berjaya dibangunkan.

Bagi keperluan prasarana pertanian,  KPLB melalui RISDA telah menyediakan 75.1 kilometer jalan pertanian, 67 unit pembentung, 3.2 kilometer sistem perparitan dan dua jambatan untuk kemudahan operasi perladangan.

Kesemua bantuan kawasan bertanam getah itu melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM19 juta.

Manakala bantuan peningkatan produktiviti getah pula membabitkan kawasan seluas 513.59 hektar dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

Bagi tujuan mengimbangkan pendapatan bukan hanya dari sektor getah, RISDA menyediakan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di mana seramai 145 orang usahawan pekebun kecil telah menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.48 juta dalam pelbagi sektor keusahawanan.

Program Agromakanan pula yang baharu diperkenalkan pada tahun ini menurut Mahdzir, membabitkan 46 peserta dalam kalangan  pekebun kecil yang terlibat dalam program ternakan, tanaman jangka pendek  dan jangka panjang.

“Sebagai sebuah kerajaan yang membawa aspirasi Keluarga Malaysia, KPLB turut meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh tahun 2021 (BMT 2021) kepada 232,319 orang pekebun kecil RISDA dan 86,323 orang pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh,” katanya.

Secara keseluruhannya, RISDA Sarawak menyalurkan RM29.46 juta bagi program BMT 2021 kepada 49,103 pekebun kecil.

Pekebun kecil akan menerima bantuan tersebut pada bulan November dan Disember ini melalui perbankan elektronik terus ke akaun penerima.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan Bantuan Bakul Prihatin kepada 100 orang penerima terdiri daripada pekebun kecil dengan peruntukan sebanyak RM5,000 disalurkan diseluruh Wilayah Sarawak.

Bantuan Program Tanggungjawab Sosial Korporat di bawah Yayasan RISDA itu bagi membantu penduduk luar bandar dan pekebun kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru