Sunday, December 5, 2021

GPS nafi  jalin kerjasama dengan Bersatu PRN-12

Secara Rawak

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelaskan hari ini bahawa gabungan itu tidak menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Malah, menurut Setiausaha Agungnya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tidak terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dengan Bersatu.

Ini bermakna GPS akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Untuk rekod, GPS ialah rakan Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional.

“Saya ingin menegaskan, tiada rundingan sedemikian pernah atau akan diadakan. Malah, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi di DUN Sarawak pada PRN yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media.

“Justeru, saya ingin membetulkan mesej salah yang dilaporkan dalam beberapa media yang membuat laporan sedemikian,” katanya lagi.

Kenyataan itu susulan laporan beberapa media yang mendakwa Nanta telah mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Sarawak yang dijangkakan diadakan pada bulan depan.

Ketika ini Adun Krian, Datuk Ali Biju ialah wakil tunggal Bersatu di DUN Sarawak. Beliau yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PKR pada PRN-11 telah menyertai Bersatu dengan beberapa pemimpin lain susulan Langkah Sheraton pada Feb 2020.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru