Sunday, December 5, 2021

Undi-18: GPS sangkal dakwaan pembangkang

Secara Rawak

KUCHING:  Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghormati pelaksanaan Undi-18 sekali gus menyangkal dakwaan pembangkang.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dakwaan pembangkang yang mendakwa Kerajaan GPS mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 secepat mungkin bagi mengelak pelaksanaan Undi-18 adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, pentadbiran kabinet negeri sekarang berada dalam ‘tempoh pinjaman’ oleh itu, PRN perlu dilaksanakan untuk mendapat mandat daripada rakyat.

“Tiada sebab kita (Kerajaan GPS) takut dengan pelaksanaan Undi-18 kerana pindaan Perlembagaan Sarawak menurunkan usia pengundi daripada 21 kepada 18 itu adalah keputusan Kerajaan GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Meet in Malaysia @ Sarawak sempena pelancaran Kuching-Hybrid City Alliance di sini.

Ketika ditanya adakah PRN Melaka nanti menjadi indikator kepada PRN Ke-12 Abang Johari berkata, pada masa sekarang Sarawak masih berada dalam proklamasi darurat.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Perkara 16 Perlembagaan Negeri untuk menurunkan usia minimum kelayakan menjadi seorang wakil yang dipilih daripada 21 ke 18 tahun.

RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020, yang dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Negeri Abdul Karim Rahman Hamzah, diluluskan dengan majoriti lebih 2/3 dengan hanya sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menolak.

Abdul Karim berkata pindaan itu akan menyelaraskan perlembagaan negeri dengan pindaan Perkara 47(b) dan Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang menurunkan hak kelayakan untuk pemilihan ke Dewan Rakyat dan untuk menjadi seorang pemilih atau pengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru