Sunday, December 5, 2021

Siapa yang bakal menang di Melaka?

Secara Rawak

Tanpa kerjasama dengan PN, besar kemungkinan Umno akan bertembung dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Melaka pada 20 November nanti.

Kalau Umno memang mahu menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua parti rakan di peringkat nasional, sudah tentu parti tulang belakang Bn itu sudah pun menyatakan kesediaannya dari awal. Tetapi, daripada perkembangan yang berlaku beberapa hari lalu, itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Sebaliknya, ketiga-tiga parti itu akan bertarung sesama sendiri.

Adakah Pas akan memenangi sebarang kerusi dalam PRN itu nanti? Atau, seperti pada PRU-14, parti Islam itu akan mendapat telur.

Pada 2018, Pas tewas di kesemua 24 kerusi yang ditandinginya.

Tentu ada sebab Umno tidak mahu bekerjasama dengan PN.

Ini mungkin dengan keyakinannya bahawa dengan bertanding sendiri, tanpa kerjasama Bersatu atau Pas ia dapat memenangi lebih banyak kerusi.

Atau pendirian itu diambil kerana ia tidak mahu kerusi tradisinya diagihkan kepada kedua-dua parti berkenaan. Apatah lagi Umno yakin untuk menambah kerusi dalam PRN nanti.

Pada 2018, Umno menang 13 daripada 18 kerusi yang ditandinginya.

Kini, dilaporkan bahawa Pas menuntut untuk bertanding di lima kerusi manakala Bersatu di lapan kerusi yang dikatakan Umno mempunyai potensi besar untuk menang.

Dalam keadaan demikian, pasti Umno tidak akan mahu berkompromi. Umno tidak akan mahu mengalah, sebaliknya akan terus mempertahankan kerusi terbabit demi menjaga reputasi dan kreadibilitinya di mata ahli dan penyokong.

Ada kemungkinan Bn akan bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka nanti.

Mungkinkah MCA dan MIC akan memenangi sebarang kerusi? Atau sekali lagi, seperti pada PRU-14, mereka tidak akan memenangi sebarang kerusi. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Pada PRU lalu, DAP memenangi lapan kerusi, PKR tiga, Amanah dan Bersatu maisng-masingnya dua kerusi bagi memungkinkan parti sekutu PH itu membentuk Kerajaan Melaka. Tetapi, Langkah Sheratom pada Feb 2020, telah menyebabkan kerajaan itu runtuh.

Selepas Langkah Sheraton, DAP hanya mempunyai tujuh Adun apabila wakilnya mengambil keputusan keluar parti, PKR dua manakala Amanah dan Bersatu kekal dua.

Melaka mempunyai 23 kerusi majoriti Melayu. Adakah Umno, Pas atau Bersatu yang bakal meraih undi di kawasan terbabit? Atau PKR dan Amanah yang bakal meraih untung daripada persaingan sesama sendiri dalam kalangan Umno, Bersatu dan Pas?

Jika pertembungan itu berlaku sehingga undi pecah, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa yang bakal menang ialah PH.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru