Sunday, December 5, 2021

Sarawak destinasi utama untuk segmen acara perniagaan

Secara Rawak

KUCHING: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB)dan Business Events Sarawak (BESarawak) menjalinkan kerjasama bagi acara perniagaan terbesar di Malaysia untuk jerayawara ‘Meet in Malaysia@Sarawak’ bersempena dengan pelancaran Kuching sebagai ahli ‘Hybrid City Alliance’.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, Kuching sebagai ahli ‘Hybrid City Alliance’ adalah perkembangan penting dalam transformasi digital selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Acara hibrid adalah contoh utama bagaimana acara perniagaan di Sarawak diteruskan dengan transformasi digital kerana era baharu pada masa kini memerlukan kita untuk menggunakan kaedah yang dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan termasuk mewujudkan persekitaran yang kondusif.

“Ianya juga akan mempertingkatkan pengalaman dan penglibatan dalam membolehkan jangkauan yang lebih luas untuk menyebarkan pengetahuan serta mewujudkan jalinan kerjasama baharu sekaligus menyokong usaha Kerajaan Negeri di bawah PCDS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program ‘Meet In Malaysia@Sarawak’ dan Majlis Pelancaran Kuching-Hybrid City Alliance di Hotel Imperial pada Jumaat.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato Sri Nancy Shukri turut memaklumkan, beliau berbangga terhadap hasil kolaborasi yang signifikan dengan Sarawak dalam kempen ‘Meet in Malaysia’.

“Sokongan padu dari Kerajaan negeri telah menjadikan Sarawak sebagai salah satu destinasi utama untuk segmen acara perniagaan.

“Di persada antarabangsa pula, Sarawak dilihat sebagai pelopor utama susulan daripada memenangi pelbagai persidangan dan penghargaan antarabangsa berbanding dengan destinasi utama lain di seluruh dunia,” ujarnya.

Dalam program sama, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kolaborasi tersebut dapat memperkuatkan jalinan kerjasama menerusi industri acara perniagaan.

“Saya mendorong industri acara perniagaan tempatan mahupun antarabangsa untuk memilih Sarawak sebagai tempat menganjurkan acara perniagaan mereka.

“Pihak kami akan memberikan pakej insentif yang menarik menerusi BESarawak dengan pakej sokongan MyCEB dengan kesesuaian acara secara hibrid, fizikal termasuk dari rumah,” jelasnya.

Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Pengerusi MyCEB, Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat

 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru