Sunday, December 5, 2021

Khaled: Pertahankan Pulau Batu Puteh: Kerajaan PH telah cuai

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjawab persoalan sebenar tentang Pulau Batu Puteh, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, persoalan sebenar ialah apakah sebab sebenarnya Kerajaan Pakatan Harapan  (PH) tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh.

“Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh dirayu. Tetapi dengan timbulnya bukti terbaru, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pada 30 Jun 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

ICJ telah bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan tersebut.

“Apa Tun Mahathir lupa bahawa dua daripada bukti baharu yang ditemui itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah tahun 2008. Secara undang-undang, dokumen tersebut hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaanya,” tegas mantan Menteri Besar Johor itu.

“Dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menggangap Pulau Batu Puteh sebahagian dari Singapura.

Dokumen kedua menunjukkan bahawa Tentera Laut British memperakui bahawa perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor,” jelasnya.

“Dan dokumen terakhir menunjukkan bahawa peta peta operasi tentera laut British menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh.

Semua dokumen tersebut, dengan jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Puteh tidak berada  di dalam wilayah republik itu,” katanya.

Menurut beliau lagi, sudah sewajarnya penemuan bukti material ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia.

“Jadi kenapa disebalik semua bukti baru ini, Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskannya proses semakan tersebut. Jika Tun Mahathir telah dinasihati oleh sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa, siapakah mereka dan apakah nasihat yang mereka kemukakan dalam konteks bukti baharu yang ditemui,” katanya.

Yang jelas, tegas beliau, Kerajaan PH telah cuai dalam tindakannya mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawabkan ke atas tindakan culas tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru