Sunday, December 5, 2021

Kementerian laksanakan 38 projek bekalan air  luar bandar di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang melaksanakan 38 buah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di seluruh Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebanyak RM1.7 bilion diperuntukkan bagi projek tersebut tahun ini.

“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab KPLB berkaitan dengan prasarana rakyat khususnya di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tangki air aras tinggi dan simbolik penyerahan projek bekalan air luar bandar di Kampung Mentong Merau/Mongkos pada Jumaat seperti dipetik Bernama.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Amar Michael Manyin, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun.

Mengenai projek bekalan air di Kampung Mentong Merau/Mongkos itu, Mahdzir berkata projek tersebut bermula sejak 2017 dan melibatkan kos RM112 juta yang memberi manfaat kepada 14,385 penduduk di kawasan terbabit.

“Pembinaannya melibatkan kerja saluran paip sepanjang 165 kilometer dengan melibatkan pemasangan paip rumah ke rumah dan pembinaan stesen pam penggalak,” katanya.

Beliau berkata jika semuanya berjalan lancar, semua penduduk di kawasan berkenaan akan dapat bekalan air bersih menjelang hujung tahun ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru