Sunday, December 5, 2021

Indeks Harga Pengguna naik pada Sept

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan 2.2 peratus pada September 2021 kepada 122.8 berbanding dengan 120.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin,  IHP merekodkan kenaikan bagi bulan kelapan berturut-turut semenjak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas pada tahun lalu.

“Kumpulan pengangkutan terus mencatat kenaikan dua digit sejak Mac dan terus meningkat 11.0 peratus pada September 2021 berbanding dengan tahun lalu,” kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan berkaitan Indeks Harga Pengguna (IHP), September 2021 semalam.

“Makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.9 peratus dan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh subkumpulan daging (5.8 peratus) disebabkan oleh kenaikan purata harga ayam pada September lalu, iaitu RM9.35 sekilogram berbanding dengan RM8.50 pada September tahun lalu,” jelasnya.

“Selain itu, subkumpulan ikan dan makanan laut meningkat 3.5 peratus, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam purata harga ikan kembong kepada RM15.60 (September 2020: RM14.30) dan ikan selayang kepada RM11.40 (September 2020: RM9.80),” katanya lagi.

Tambahan pula, katanya, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah turut meningkat 1.7 peratus diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.7 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.6 peratus).

“Kedua-dua restoran dan hotel dan kesihatan mencatatkan peningkatan marginal 0.3 peratus, manakala minuman alkohol dan tembakau meningkat 0.4 peratus,” kata beliau.

“ Komunikasi kekal tidak berubah, manakala pakaian, kasut, pelbagai barangan dan perkhidmatan kedua-duanya menurun negatif 0.5 peratus. Pendidikan juga merekodkan penurunan marginal negatif 0.1 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya,” jelasnya..

Menurut Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir, IHP bagi suku tahun ketiga 2021 meningkat 2.2 peratus kepada 122.6 berbanding dengan 120.0 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan penurunan negatif 0.4 peratus berbanding dengan suku tahun kedua 2021.

Bagi perbandingan dari bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Ogos 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh makanan dan minuman bukan alkohol (0.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.1 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru