Saturday, June 25, 2022

PRN Sarawak pada hujung bulan November?

Secara Rawak

Pejabat Ketua Menteri  Sarawak semalam menafikan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan pada hari ini.

Penafian itu dilakukan di sebalik pelbagai spekulasi bahawa DUN akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak.

DUN Sarawak sepatutnya bubar pada 7 Jun lalu.

Namun disebabkan oleh ancaman pandemik Covid-19, maka Darurat diisytiharkan sekali gus menyebabkan PRN-12 tidak boleh diadakan, dan terpaksa ditangguh.

Sebuah akhbar nasional  yang memetik sumber dalam laporannya semalam berkata, ketua menteri dijangka membuat pengumuman penting itu hari ini.

Sumber yang tidak dinamakan itu juga memberitahu bahawa pemimpin tertinggi GPS menyatakan pembubaran akan berlaku esok hari.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri akan melancarkan gagasan Keluarga Malaysia di Kuching.

Pelbagai sumber menyatakan bahawa PRN-12 akan diadakan pada 27 Nov manakala hari penamaan calon pada 13 Nov.

Difahamkan  mulai semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mulai rancak mengadakan latihan untuk petugas pilihan raya.

Sementara itu, SPR  dilaporkan akan membentangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian berkenaan akan turut memberikan pandangan berhubung perkara terbabit pada mesyuarat sama.

Beliau berkata setiap SOP yang dicadangkan oleh SPR akan mengambil kira pengalaman PRN Sabah tahun lepas.

Sudah pasti SOP itu juga akan digunakan untuk PRN Sarawak nanti.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dilaporkan  sudah mempunyai senarai nama calon yang akan bertanding dalam PRN Sarawak nanti.

Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, keputusan sama ada sudah dimuktamadkan atau belum diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Bagi PBB memang Ketua Menteri sudah mempunyai nama, bagi komponen lain mungkin belum dimuktamadkan saya tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama-sama Media di Hotel Waterfront, di sini, semalam.

Mengenai persiapan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menghadapi PRN-12, Alexander merangkap Setiausaha Agung GPS berkata parti-parti komponen gabungan itu sudah bersedia sejak 2019 lagi kerana menjangkakan PRN berlangsung pada 2020.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat mengadakan PRN pada tahun lepas susulan pandemik Covid-19,” katanya.

Dengan kadar vaksinasi di Sarawak untuk orang dewasa sudah mencecah lebih 90 peratus, ini tentu memberi keyakinan kepada SPR untuk mengadakan pilihan raya itu.

Satu daripada cabaran SPR dan parti politik nanti adalah untuk meyakinkan pengundi turun mengundi.

Bagi PRN Melaka, kadar pengundi yang ditetapkan oleh SPR sekurang-kurangnya 70 peratus.

Kelihatannya semua tanda memperlihatkan, PRN  Sarawak bakal diadakan dalam waktu terdekat.

Maksudnya, ia tidak akan diadakan pada tahun depan atau selepas berakhirnya Darurat pada 2  Februari 2022.

Sepatutnya PRN Sarawak diadakan pada November 2020.

Maksudnya, Darurat perlu terlebih dahulu ditarik balik, dan kuasa itu berada di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru