Sunday, December 5, 2021

COVID-19 masih berada di mana-mana, terus patuhi SOP

Secara Rawak

MARUDI: Penularan wabak COVID-19 masih belum tamat dan penduduk setempat perlu terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. 

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Dr Penguang Manggil berkata, walaupun telah mencapai imuniti kelompok dan bersedia beralih ke endamik, pematuhan SOP perlu terus dipatuhi. 

“Tindakan mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka, menggunakan pembersih tangan, penjarakan fizikal dan tidak berada di dalam kelompok yang sesak wajar diteruskan.

“Ini kerana jangkitan dan penularan wabak COVID-19 masih berlaku dalam masyarakat,” katanya semasa menghadiri Program Ziarah UKAS di Gereja BEM Bukit Lapok, Tinjar Marudi pada Khamis. 

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah memberikan sumbangan berbentuk penyerahan alat perlindungan diri seperti mesin semburan sanitasi, ‘disfectant liquid’, pembersih tangan, pelitup muka dan alat pemeriksa suhu kepada rumah rumah ibadat di sekitar Pekan Lapok, Tinjar iaitu Gereja BEM Bukit Lapok, Gereja RC Lapok dan Tokong Cina Lapok.

Sementara itu, dalam program yang sama di Kampung Melayu Beluru, Bakong Dr Penguang yang juga Ahlli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, menasihati penduduk setempat sentiasa membuat pemeriksaan kendiri sekiranya kurang sihat.

“Sentiasa membuat pemeriksaan RTK Antigen COVID-19 secara kendiri jika berasa kurang sihat.

“Jika keputusan negatif, segera maklumkan kepada Jabatan Kesihatan untuk mendapat rawatan dan kuarantin,” katanya. 

Seperti di Gereja BEM Bukit Lapok, Tinjar, UKAS juga menyerahkan alat pelindung diri kepada rumah rumah ibadat di sekitar Pekan Beluru iaitu Masjid Al-Munir Kampung Melayu Beluru, Gereja BEM Beluru dan Gereja RC Beluru.

Bagi semua penerima, mereka mengucapkan terima kasih kepada UKAS di atas pemberian alatan kesihatan ini yang semestinya sangat diperlukan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pada majlis itu, Pejabat Daerah Beluru telah menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan Sarawak kepada setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).

Hadir sama Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling Ason dan Kaunselor Peteri Sim.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru