Sunday, December 5, 2021

Biografi Sasterawan Negeri Sarawak perlu diterbitkan

Secara Rawak

MIRI: Sesuai dengan kedudukannya sebagai Sasterawan Negeri, sebuah kumpulan puisi yang memuatkan karya terpilih Abizai sepanjang sekitar empat dekad lalu perlu diterbitkan dalam bentuk yang berdigniti, kata pengkritik sastera dan penganalisis politik, Dr Jeniri Amir.

Menurut beliau, buku itu sekurang-kurangnya 300 halaman untuk diedarkan ke sekolah dan perpustakaan di negeri ini sebagai rujukan pelajar, peminat puisi dan pembaca sastera.

“Hal ini adalah wajar kerana sebahagian besar daripada kumpulan dan antologi puisi beliau telah tidak lagi beredar di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 anjuran DBP Sarawak di sini pada Rabu.

“Dengan adanya kumpulan yang representatif yang memuatkan puisi beliau yang benar-benar berkualiti tinggi dan mewakili periode tertentu dan perjalanan kepenyairannya, maka ini akan memudahkan peminat mengikuti dan menghayati karyanya,” jelas Jeniri.

“Biarlah buku itu nanti sekurang-kurangnya 300 halaman, menggunakan kertas berkualiti tinggi,” katanya.

Sepanjang 39 tahun berkarya, penyair ulung itu telah menulis sekitar 600 buah puisi.

Beliau juga mencadangkan supaya biografi Abizai juga diterbitlan oleh DBP.

“Melalui biografi itu nanti akan dapat dipaparkan latar belakang kehidupan, kerjaya, proses kreatif, dunia kepenyairan, sumbangan, pencapaian, kejayaan dan penghargaan yang diterimanya,” kata Jeniri lagi.

Beliau juga mencadangkan agar dihimpunkan dan diterbitkan buku yang menghimpunkan analisis dan kritikan terhadap karya beliau oleh sarjana dan pengkritik sastera tanah air.

Setakat ini sebanyak 20 orang pengkritik sastera telah mengkritik karya Abizai.

“Antologi esei itu nanti alan meliputi pelbagai bidang dan teori kritikan yang pastinya dapat membantu pencerahan tentang karya beliau,” jelasnya.

Dua buah buku karya Abizai, Memandang Cangkerang dan Alam Hakiki dalam Puisi Penyair Sarawak terbitan DBP dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasan dan Sastera DBP, Dr Abang Patdeli Abang Muhi di majlis perasmian wacana itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru