Sunday, May 29, 2022

Yakinkan pengundi: SPR perlu belajar daripada pilihan raya di luar negara

Secara Rawak

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Tarikh penamaan calon pula pada 8 Nov manakala pengundian awal pada 16 Nov.

Calon bertanding akan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding.

Daftar pemilih itu mengandungi seramai 495,196 pengundi dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN berkenaan adalah sebanyak 70 peratus.

Dapatkah sasaran itu dicapai ketika Covid-19 masih melanda? Inilah yang menjadi cabaran kepada semua pihak, termasuk parti politik yang bertanding dan SPR.

Yang penting adalah bagaimana pendekatan atau strategi untuk meyakinkan pengundi agar turun mengundi?

SPR tentu sudah mempunyai strategi dan ramuan tertentu untuk memastikan jumlah yang turun mengundi tidak  berada di bawah 70 peratus.

Berdasarkan peratusan di luar negara, ada negara yang menyaksikan penurunan, tetapi ada juga yang menyaksikan kenaikan peratusan, termasuk Singapura dan Korea Selatan.

Banyak faktor yang menentukan kadar berkenaan, termasuk SOP yang dilaksanakan. Yang penting adalah keyakinan di pihak pengundi.

Ada negara yang menambah jumlah jam untuk mengundi, tideak kurang juga yang menkaskan tempoh tertentu bagi pengundi yang berusia.

SPR pasti telah menyediakan Tatapelakuan Pengundi untuk diikuti oleh pengundi di Melaka dan mungkin juga di Sarawak nanti.

Pilihan raya di Melaka merupakan ujian asid bagi SPR, dan ia dapat mengkaji kelemahan dan kelebihan perjalanan pilihan raya itu untuk kemudiannya dilaksanakan di Sarawak nanti.

Di India, pada 2020 sahaja, beberapa pilihan raya pelbagai peringkat telah diadakan merangkumi Lok Sabha (bersamaan Dewan Rakyat Parlimen Malaysia), Rajya Sabha (Dewan Negara), pilihan raya tiga negeri dan beberapa lagi melibatkan majlis dan kerajaan tempatan.

Astro Awani melaporkan, negara itu telah menetapkan garis panduan SOP yang perlu diikuti pilihan raya di semua peringkat, termasuk hanya 1,000 pegundi maksimum dibenarkan berada di kawasan mengundi.

Ketika di ruangan mengundi, terdapat tiga barisan yang disediakan – lelaki, wanita dan warga emas serta mereka yang memerlukan bantuan khusus.

Setiap pengundi yang berbaris perlu berada dalam bulatan dengan jarak enam kaki antara satu sama lain.

Pengundi diminta membuka topeng muka apabila tiba gilirannya, bagi membolehkan proses pengesahan identiti oleh pegawai bertugas.

Sarung tangan juga disediakan untuk membolehkan pengundi menggunakan mesin pengundian elektronik (EVM).

Ketika pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat pula, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS telah menetapkan beberapa garis panduan untuk penyeliaan pusat pengundi.

Antaranya, mempunyai pelbagai pilihan kaedah mengundi, waktu mengundi yang lebih panjang serta apa-apa langkah yang boleh mengurangkan jumlah pengundi yang ramai dalam sesuatu pusat mengundi.

Petugas digalakkan untuk sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun, untuk sekurang-kurangnya 20 saat.

Sudah tentu ada kerisauan di Melaka susulan kejadian yang berlaku di Sabah pada Sept tahun lalu sehingga jumlah kes Covid meningkat mendadak di negara ini.

Namun seyogia diingat, ketika itu kita belum lagi menjalani suntikan vaksin, dan SOP pilihan raya agak longgar.

Kempen terbuka dibenarkan. Jadi kita perlu belajar daripada kesilapan negara luar, dan segala SOP dan tatapelakuan yang berkesan yang telah dijalankan.

Harus diingat, mengadakan pilihan raya waktu Covid, bukan sesuatu yang luar biasa. Lebih 80 pilihan raya  telah mengadakannya di seluruh dunia waktu Covid-19 melanda.

Dayang Nurafizah ialah pengamat politik tanah air. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru