Sunday, May 29, 2022

PRU-15: Umno, Bersatu dijangka bertembung

Secara Rawak

Ketika di Kota Kinabalu pada awal bulan ini, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu bersedia melawan Umno dalam pilihan raya akan datang sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama. Ya, inilah sebenarnya realiti politik yang bakal dihadapi Bersatu dalam PRU-15 nanti.

Sudah terang lagi bersuluh, Umno tidak akan mahu berganding bahu dengan Bersatu. Parti tulang belakang BN itu tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Itu keputusan muktamad.

Implikasinya, Umno tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang dimenanginya dalam PRU-14. Ketetapan ini sebenarnya telah dibuat bukan sahaja oleh MKT, tetapi juga akar umbinya. Umno perlu mendengar suara akar umbi jika mahu mengelak daripada terkena bahananya nanti.

Memang politik itu aneh. Demi kuasa, pemimpin dan parti politik sanggup bekerjasama dengan musuh. Dan, demi kuasa juga mereka sanggup berlawan dengan musuh yang sudah menjadi kawan. Bukankah Lord Acton sudah mengingatkan kita bahawa tiada kawan atau musuh yang abadi dalam politik? Yang kekal ialah kepentingan.

Sebelum ini PN mendedahkan parti komponen mencapai konsensus membincangkan pengagihan kerusi dalam kalangan mereka untuk PRU-15, tanpa membabitkan BN.

Dalam PN, rundingan kerusi melibatkan Bersatu, Pas dan Gerakan di Semenanjung Malaysia, bersama-sama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) di Sabah.

Bagi Umno, ia sudah bersedia untuk berdepan dengan Bersatu, termasuk di kerusi yang diwakili oleh bekas wakil rakyatnya. Seyogia diingatkan, 15 Ahli Parlimen Umno melompat untuk menyertai Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebaik sahaja BN tumbang pada Mei 2018. Ketika itu Bersatu malah PH kelihatan begitu gah, dan kelihatan terlalu yakin diri.

Jadi, tidak hairanlah ada pemimpin politik yang goyah prinsip, mengambil keputusan drastik dengan melompat parti. Bagi mereka Umno telah gelap masa depannya. Sebaliknya, Bersatu pimpinan Mahathir punya masa depan cerah.

Ya, mereka memberi alasan melompat parti demi kepentingan rakyat. Sedangkan sebenarnya itu hanya alasan untuk menghalalkan tindakan. Sebenarnya, semua itu dilakukan demi survival politik dan kepentingan diri. Tidak ada yang percaya bahawa tindakan itu dilakukan demi kepentingan rakyat.

Harus diingat, dalam PRU 2018, Umno memenangi 54 kerusi daripada 120 Parlimen yang ditandinginya, manakala Bersatu hanya menang 13 kerusi. Pas, kini sekutu Bersatu, pula menang 18 kerusi daripada 159 kerusi ditandinginya.

PRU-14 menyaksikan PKR memenangi 47 kerusi Parlimen dengan penambahan 19 kerusi, berbanding 30 kerusi yang dicapai pada PRU-13. DAP memperoleh 42 kerusi, naik empat kerusi berbanding pilihan raya lima tahun lalu. Amanah 11 kerusi dan Warisan lapan kerusi. Maksudnya, daripada sekian banyak parti yang bertanding, Umno masih merupakan parti dominan dengan menangi kerusi terbanyak.

Tindakan yang diambil oleh Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU nanti adalah kerana ia mahu kembali dominan dan menjadi pentakrif politik Malaysia. Juga, mahu terus berkuasa dan menjadi pemain utama, termasuk menjadi Perdana Menteri.

Umno belajar erti kepedihan dan keperitan ketika di bawah pimpinan Bersatu apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri walaupun jumlah kerusi dipegang Bersatu ketika itu, sedikit berbanding Umno.

Namun disebabkan ahli politik katak, maka jumlah kerusi yang dikuasai Umno kini berkurangan manakala jumlah kerusi Bersatu bertambah.

Siapakah yang akan berpeluang untuk menang jika berlaku pertembungan terbuka antara Umno, Bersatu, Pas? Itu belum lagi mengambil kira tentangan daripada Pakatan Harapan.

Ketiga-tiga parti yang membolehkan PN berdiri sekarang pernah bertembung pada PRU lalu. Terdapat 47 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung menyaksikan pertembungan antara Bersatu, Pas dan Umno.

Ada lagi 11 kerusi yang Umno mendapat undi lebih tinggi daripada Pas. Pas pula mempunyai enam kerusi yang memperoleh lebih banyak undi daripada Umno.

Justeru, Pas boleh memenangi 25 kerusi dan Umno boleh memenangi 66 kerusi.
Daripada 47 kerusi tersebut, Umno menang 30 kerusi, Bersatu 10 kerusi dan selebihnya Pas. Untuk kerusi Parlimen dengan 80 peratus pengundi Melayu, Umno menang sebanyak 23 kerusi, Pas tujuh kerusi dan Bersatu tiga kerusi.

Bagi kerusi Parlimen dengan pengundi Melayu antara 60 hingga 79 peratus, Umno dan Bersatu masing-masing mendapat tujuh kerusi dan Pas gagal meraih walaupun satu kerusi.
Data ini jelas membuktikan jika ketiga-tiga parti berkenaan bergabung dan berkompromi, peluang untuk mereka menang dan membentuk kerajaan kembali adalah cerah nanti.

Malah, jika mereka bergabung, diyakini mereka mampu memenangi sehingga 149 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu.

Tetapi dengan perkembangan yang berlaku, kemungkinan Bersatu hanya akan bekerjasama dengan Pas, sehingga akhirnya menyaksikan Umno akan bertembung dengan parti berkenaan dalam PRU-15 nanti. Kuasa dan politik memang penuh dengan ironi dan keanehan.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru