Sunday, December 5, 2021

20 November tarikh mengundi PRN Melaka

Secara Rawak

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 8 Nov manakala pengundian awal pada 16 Nov.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini seperti dilapor Bernama.

Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Ghani berkata bagi tujuan PRN berkenaan, SPR telah melantik seramai 28 pegawai pengurus pilihan raya dan dibantu oleh 80 penolong pegawai pengurus pilihan raya.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata daftar pemilih yang digunakan bagi PRN Melaka adalah Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Kedua 2021 (ST2/2021) yang dikemas kini sehingga 3 Okt 2021.

Daftar pemilih itu mengandungi seramai 495,196 pengundi dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN berkenaan adalah sebanyak 70 peratus. –

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru