Sunday, May 29, 2022

Bilakah PRN-12 Sarawak akan diadakan?

Secara Rawak

Bilakah PRN-12 Sarawak akan diadakan? Pelbagai spekulasi beredar ketika ini. Ada yang meramalkan bahawa DUN akan dibubarkan pada akhir bulan ini. Tidak kurang juga yang menjangkakan bahawa Pilihan Raya Negeri akan diadakan pada akhir November atau selewet-lewatnya awal Disember.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN  sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Sebelum PRN-12 dibolehkan, kita perlu ingat pada ketika ini Sarawak berada dalam keadaan Darurat.

Darurat setempat telah diisytiharkan di Sarawak untuk membolehkan negeri itu menangguhkan pilihan raya di tengah-tengah wabak Covid-19.

Tarikh tamat darurat juga disertakan dalam proklamasi darurat setempat yang akan berlangsung selama enam bulan hingga 2 Februari 2022.

Darurat yang dikhususkan untuk Sarawak itu berikutan berakhirnya darurat seluruh negara, yang pertama kali diisytiharkan pada 11 Januari, dan  tamat  1 Ogos 2021.

Implikasinya,  PRN Sarawak tidak boleh diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.

PRN digantung dan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat Sarawak dibatalkan atau diungkaikan.

Proklamasi  oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Proklamasi itu meliputi seluruh Negeri Sarawak mulai 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Sehubungan itu juga, satu ordinan sudah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P U (A) 324.

Justeru, memandangkan Proklamasi Darurat Sarawak P U (A) 323 yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai dan peruntukan Seksyen 3(4) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P U (A) 324, maka Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri digantung dan hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi ini dibatalkan atau diungkaikan.

Untuk itu, jika PRN-12 hendak diadakan, darurat perlu ditamatkan terlebih dahulu.

Semalam  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dua perkara penting perlu dilakukan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 boleh diadakan.

Pertama Proklamasi Darurat (Sarawak) yang diisytiharkan  perlu terlebih dahulu  yang berkuat kuasa sehingga 2 Feb 2022 disingkatkan atas perkenan Seri Paduka jika diperlukan.

Kedua, PRN Sarawak boleh diadakan kalau Seri Paduka bersetuju dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersama kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dicapai.

Hakikatnya, mengadakan pilihan raya bukanlah sesuatu yang luar biasa ketika Covid-19. Lebih daripada 80 negara di dunia, termasuk Singapura dan Korea Selatan telah mengadakannya.

Kini menjadi cabaran kepada SPR untuk merumuskan Tatapelakuan Pengundi dan bagi KKm untuk merumuskan SOP bagi memastikan pengundi yakin turun mengundi, dan seterusnya tidak menjejaskan peratusan yang mengundi nanti.

Sebanyak 82 kerusi DUN  bakal direbut oleh pelbgagai parti politik. Persoalannya, adakah GPS dapat mempertahankan jumlah kerusi yang kini disandangnya?

Mampukah pembangkang khususnya PSB menggugat kedudukannya bersama-sama dengan DAP?

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru