Sunday, December 5, 2021

Air Terjun Wong Pejik antara yang menarik di Sarawak

Secara Rawak

BELAGA: Air Terjun Wong Pejik di hulu Sungai Linau, Lusong Laku, Belaga bakal menjadi satu lagi produk pelancongan menarik dan terpenting di Sarawak.

Mendapat jolokan Air Terjun Niagara Malaysia, khazanah alam yang tersembunyi jauh dari bandar Bintulu ini memiliki ketinggian lebih 20 kaki dan 50 meter lebar.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, air terjun berkenaan harus dipromosikan sebagai destinasi pelancongan menarik di negeri ini sekali gus menjadi tempat yang harus dilawati oleh setiap pengunjung.

“Namun kawasan ini agak terpencil di bahagian utara negeri. Untuk menjadikannya tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa, kita harus bersiap sedia dan mempunyai perancangan jangka panjang.

“Jadi kami ke sini untuk melihat sendiri dan menilai kekurangan yang perlu diperbaiki terutama dalam melatih penduduk tempatan dengan kemahiran pelancongan.” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja Produk EkoPelancongan di Lusong Laku Belaga.

Menurut Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, kawasan tersebut juga mempunyai kelainan tersendiri kerana ia merupakan penempatan kaum Penan yang terkenal dengan seni anyaman dan produk kraftangan yang cantik dan boleh dipasarkan.

Perjalanan untuk ke air terjun tersebut lebih 260 km dari Bintulu, walaupun terletak di Bahagian Kapit, namun ia lebih dekat dengan BIntulu disebabkan faktor geografi kawasan tersebut.

Di tepi air terjun ini terletak sebuah sekolah rendah iaitu SK Lusong Laku. Kawasan kampung Lusong Laku turut dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur termasuk akses jalan raya dan klinik. Terdapat juga kemudahan Inap Desa yang ditawarkan kepada pengunjung.

Ketika musim kemarau, Sungai Linau yang jernih dan tempat ini jadi taman permainan ikan empurau dan semah. Keindahan yang masih terpelihara ini sudah pasti bakal menjadi tempat mesti dilawati bagi penggemar sukan lasak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru