Saturday, December 4, 2021

32,000 liter minyak diesel tanpa permit ditahan KPDNHEP Mukah

Secara Rawak

MUKAH: Memiliki dan membawa barang kawalan berjadual tanpa permit, seorang lelaki berusia 54 tahun ditahan pihak polis bersama sebuah treler tangki diesel di kilometer 70 Jalan Sibu-Selangau pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata sepasukan anggota dari Balai Selangau dan Balai Mukah telah membuat pemeriksaan dan menahan seorang pemandu treler yang membawa 32,000 liter minyak diesel bernilai RM 68,800.

“Setelah membuat pemeriksaan ke atas kenderaan didapati pemandu gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen sah bagi memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit dan tanpa kebenaraan berkenaan dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

“Pihak kita telah menahan lelaki berkenaan bersama-sama dengan treler berkenaan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan

Lelaki dan treler berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Selangau untuk tindakan dokumentasi.

Kes akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP Mukah untuk tindakan selanjutnya.

Dianggarkan nilai keseluruhan tangkapan ialah RM318,800.00 meliputi treler tangki diesel bernilai RM250,000 dan 32,000 liter minyak diesel bernilai RM 68,800.

Tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah untuk tindakan selanjutnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru