Saturday, December 4, 2021

Mahu tuntut hutang RM20 akhirnya dihukum penjara 12 bulan

Secara Rawak

KUCHING: Gara-gara mencederakan rakan menggunakan sebatang rod magnet, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Steven , 35, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia mencederakan Assisi, 37, menggunakan sebatang rod magnet di sebuah bangunan di Jalan Padungan sekitar jam 1.05 pagi, 11 Oktober lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau boleh dikenakan denda atau sebatan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada 11 Oktober lepas, kira-kira jam 1.05 pagi, pihak polis telah menangkap tertuduh di sebuah bangunan kosong di belakang Hotel Maritim, Jalan Padungan.

Hasil siasatan tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera pada mangsa dengan menggunakan sebatang rod magnet berukuran lebih kurang 15 inchi.

Difahamkan, mangsa mengenali tertuduh sejak tahun 2000 dan menetap bersama di sebuah bangunan kosong tersebut sejak bulan Mei lalu.

Sebelum kejadian berlaku, tertuduh difahamkan dalam keadaan mabuk telah meminta mangsa membayar hutang sebanyak RM20.00, namun tidak mampu membayar hutang berkenaan.

Kemudian, tertuduh bertindak membaling sebatang rod magnet ke arah mangsa lalu terkena bahagian dahi hingga menyebabkan kecederaan luka.

Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Merelyn Lindan Andrew Mang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru