Sunday, November 27, 2022

Buat tuntutan palsu 40 ribu ringgit dapat denda RM202,396  

Secara Rawak

KUCHING: Seorang Penolong Jurutera Awam di sebuah Jabatan Kerajaan Negeri dijatuhi hukuman penjara dan denda sebanyak RM202, 396 selepas didapati bersalah dengan empat pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM40,479.40, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Nixon Kennedy Kumbong mengarahkan tertuduh berusia 61, dipenjara setahun bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya namun mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan secara serentak.

Beliau juga mengarahkan tertuduh dihukum penjara selama 15 bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut empat pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan memohon tuntutan palsu menggunakan syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya bagi melakukan kerja-kerja berkaitan penyelengaraan sistem saliran luar bandar di sekitar Daerah Lundu dan Sematan sepanjang tahun 2016.

Oleh itu, Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di baca bersama Seksyen 24 Akta yang sama.

Semua pembayaran tuntutan palsu berjumlah RM40,479.40 tersebut telah dimasukkan ke akaun syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya pada tahun 2016.

Sebelum ini, pada tahun 2018 tertuduh telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat salah guna kuasa bernilai lebih RM40,000.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh diwakili seorang peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru