Friday, August 19, 2022

Sibu Jaya perlu sekolah baharu

Secara Rawak

SIBU: Sibu Jaya memerlukan tambahan sekolah rendah dan menengah, kata Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew.

Ketika menyampaikan perbahasannya pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14, Majlis Mesyuarat Dewan Negara pada Khamis, Lau berkata, populasi penduduk yang kian bertambah di Sibu Jaya amat memerlukan sekolah baharu.

“Sebagai sebuah kawasan perbandaran baharu di Sibu, Sibu Jaya mempunyai lebih 33,000 orang penghijrah dari luar bandar ke kawasan bandar,” ujarnya. Rentetan populasi itu, Lau berkata, populasi murid juga bertambah dengan pesat di Sibu Jaya.

“Namun, Sibu Jaya hanya dilengkapi dengan sebuah sekolah rendah kebangsaan dan sebuah sekolah menengah kebangsaan yang menampung 1,855 dan 2,265 orang murid masing-masing.

“SJK (C) Thian Hua di Sibu Jaya menampung 750 orang murid. “Sekolah ini amat sesak dan hampir 60 peratus daripada murid terdiri daripada kaum Iban yang telah berhijrah dari luar bandar ke kawasan bandar,” jelas Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan itu.

Menurutnya lagi, pegawai pendidikan daerah Sibu sedia maklum mengetahui keperluan untuk mewujudkan lebih banyak sekolah di Sibu Jaya. Beliau mengatakan, dua buah sekolah telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan untuk Sibu Jaya dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Tetapi sedihnya, projek ini belum dilaksanakan sampai sekarang. “Saya telah bertanya mengenai status projek ini pada tahun lepas tetapi tidak mendapat sebarang jawapan positif,” tegasnya.

Beliau menyifatkan, rancangan lima tahun itu (RMK-10) hanya satu rancangan sahaja tetapi banyak tiada pelaksanaan yang dibuat terutamanya bagi Sarawak dan Sabah. “Kita mesti merancang dengan baik. Namun, pelaksanaan adalah lebih penting lagi berbanding dengan perancangan.

“Perancangan dan pelaksanaan adalah seperti anakanak kembar Siam. Kita mesti berlumba dalam perlumbaan yang betul di samping berlari dengan paling pantas. Kita mesti efektif dalam perancangan serta efisien dalam pelaksanaan,” jelasnya.

Lau menjelaskan, Buku RMK-12 yang setebal 500 muka surat adalah sebuah buku yang amat komprehensif, merangkumi semua topik. Katanya, satu rancangan besar yang merangkumi semua aspek adalah terlalu bercita-cita tinggi dalam tempoh lima tahun yang begitu singkat.

“Saya percaya kita memerlukan satu strategi yang lebih fokus dan pelan tindakan yang lebih bersasar serta boleh dilaksanakan dalam satu tempoh masa, tidak semestinya lima tahun. Singapura juga mengambil pendekatan yang sedemikian,” ujar Lau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru