Wednesday, June 29, 2022

12 Pati cuba ceroboh sempadan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negeri ini melalui jalan tikus di kawasan Tebedu pada awal pagi berjaya digagalkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi hari ini apabila sepasukan anggota keselamatan yang sedang melaksanakan serkap telah mengesan 12 individu dipercayai Pati berjalan kaki memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

Katanya, setelah ditahan dan disoal siasat, lima individu lelaki berusia antara 35 hingga 45 tahun, empat individu wanita berusia antara 34 hingga 39 tahun bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia antara 4 hingga 14 tahun didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan.

“Kesemua Pati telah diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu berkata, impak pandemik Covid-19 menyebabkan kes-kes melibatkan Pati cuba masuk untuk mencari pekerjaan di Sarawak dilihat semakin meningkat.

Katanya, pelbagai taktik dan kaedah digunakan Pati cuba masuk ke Malaysia termasuklah cubaan menyelinap diawal pagi namun berjaya digagalkan.

Sehubung itu, katanya, Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak – Kalimantan Barat terus kekal siaga dan beriltizam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru