Monday, October 25, 2021

Wanita ditolak ke arah kereta api sedang bergerak

Mesti baca

NEW YORK: Seorang wanita nyaris maut selepas ditolak oleh seseorang yang tidak dikenali ke arah sebuah kereta api yang sedang bergerak di New York baru-baru ini.

Dalam video mengerikan yang dikongsi oleh Jabatan Polis New York, suspek wanita yang berpakaian hitam dan memakai skaf kepala berwarna-warni pada mulanya dilihat duduk di bangku di platform stesen kereta api di kawasan Manhattan.

Apabila sebuah kereta api tiba, dia berdiri, berjalan beberapa langkah ke hadapan dan secara tiba-tiba terus menolak seorang wanita yang berada di hadapannya ke arah kereta api yang bergerak laju itu.

Mangsa bernasib baik kerana terselamat, apabila impak tolakan itu menyebabkan dia melantun semula ke platform.

Beberapa saksi kejadian berpendapat ia merupakan serangan terancang dan amat menakutkan sekali gus menasihati orang ramai agar sentiasa waspada dan memerhati keadaan sekitar mereka.

Datuk Bandar New York City, Bill de Blasio mengatakan pihak polis dan anggota keselamatan dikerah mengawasi semua stesen tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini pada masa depan, lapor Fox5.

Secara Rawak

Artikel Terbaru