Monday, October 25, 2021

Tak sabar nak kerja di Sarawak, sanggup masuk guna jalan tikus

Mesti baca

KUCHING: Seramai 14 warganegara Indonesia yang cuba mencari kerja di negeri ini ditahan ketika menyelinap masuk melalui jalan tikus di sempadan Tebedu dan Biawak, Lundu.

Kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) itu ditahan oleh pasukan tentera darat yang mengawal persempadanan Sarawak – Kalimantan Barat, dalam tempoh dua hari berturut-turut iaitu hari ini dan semalam.

Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berkata pada jam 11 pagi hari ini, seorang wanita dan empat lelaki berusia 24 hingga 47 tahun ditahan di sekitar kawasan Biawak.

Manakala, katanya dua lelaki berumur 39 dan 42 tahun ditahan kira-kira jam 10.05 pagi semalam di Tebedu.

Sementara tujuh lagi lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun ditahan di kawasan Biawak kira-kira jam 5 petang semalam.

“Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan cuba masuk secara haram ke negara ini melalui jalan-jalan tikus di sepanjang sempadan darat Malaysia-Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah hasil siasatan mendapati tujuan mereka adalah untuk mencari pekerjaan di pelbagai sektor di Sarawak.

Katanya laporan polis telah dibuat dan kesemua Pati terbabit telah diusir keluar pada hari yang sama.

Justeru, katanya pasukan tentera darat yang bertugas di persempadanan akan sentiasa berwaspada kerana kes kemasukan Pati ke negeri ini untuk mencari pekerjaan semakin meningkat ketika negara sedang memasuki fasa endemik Covid-19.

Secara Rawak

Artikel Terbaru