Monday, October 25, 2021

Suburkan kembali sektor pelancongan

Mesti baca

BETONG: Kebenaran rentas daerah dan negeri merupakan kunci utama untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan.

Pensyarah Pengurusan Pelancongan Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS), Imelda Richard Fuchau memberitahu, industri pelancongan yang menjadi salah satu penyumbang terbesar ekonomi negara harus dibugarkan kembali.

“Sejak negara dilanda pandemik Covid-19, sektor pelancongan telah lumpuh dan secara langsung memberi kesan kepada ekonomi negara. “Ramai pekerja dalam industri kehilangan sumber pendapatan mereka.

“Justeru, dengan pembukaan kembali sektor pelancongan dan kebenaran rentas sama ada daerah mahupun negeri, mereka yang menjadi pemain dalam industri kini diharap mampu menjana pendapatan semula, yang secara tidak langsung membantu menambah baik ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang impak kebenaran rentas daerah dan negeri terhadap sektor pelancongan di sini pada Selasa.

Bagaimanapun jelasnya, sektor pelancongan perlu memastikan aktiviti yang dilaksanakan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. “Misalnya, hanya membenarkan pekerja dan pelancong yang telah lengkap dua dos vaksin memasuki premis atau melaksanakan aktiviti pelancongan yang berkaitan.

“Kerajaan juga disaran membuat pemeriksaan secara rawak atau berkala di premis perniagaan, kedai makan dan tempat tumpuan awam bagi memastikan SOP dipatuhi, yang mana amat penting dalam usaha negara ke arah fasa endemik,” ujarnya.

Imelda menambah, kebenaran rentas daerah dan negeri perlu bagi mendokong pembukaan kembali sektor pelancongan. “Saya yakin, bahkan tidak menafikan peluang seperti ini tidak akan dilepaskan oleh rakyat Malaysia untuk melancong ke destinasi yang diimpikan setelah sekian lama ‘berkurung’.

“Dalam bentuk tersirat, hal ini bukan sahaja dapat membantu masyarakat meluangkan masa bersama-sama keluarga, dalam masa sama membantu mereka mengurangkan tekanan perasaan kesan daripada pandemik,” jelasnya.

Beliau mengharapkan agar kerajaan tampil dengan mekanisme selamat dalam pembukaan sektor pelancongan dan kebenaran rentas supaya membawa impak positif.

Secara Rawak

Artikel Terbaru