Monday, October 25, 2021

Sarawak komited urus hutan ikut standard antarabangsa

Mesti baca

KUCHING: Kerajaan Sarrawak komited meneruskan usaha untuk memastikan standard pengurusan hutan lestari di Sarawak sejajar dengan standard antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dalam pengurusan hutan secara lestari, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM31 juta di bawah Belanjawan 2022 untuk pelaksanaan projek perhutanan di negeri ini.

“Selain memastikan standard pengurusan hutan lestari di Sarawak sejajar dengan standard antarabangsa, kerajaan juga berusaha untuk mengukuhkan reputasi Sarawak di pasaran global.

“Justeru itu, peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan ini adalah untuk pelaksanaan projek perhutanan seperti Program Pemulihan Landskap Hutan; Penubuhan Pusat Pematuhan Hutan dan Hutan Tetap; serta membangunkan dan menaiktaraf Kemudahan di Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau mendedahkan sejumlah RM1.13 juta yang diluluskan akan digunakan untuk menjalankan aktiviti dan strategi promosi yang bertujuan untuk menjadikan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco yang diiktiraf secara global.

“Usaha juga sedang dilakukan untuk memasukkan Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir sebagai Taman Warisan Asean. “Selain itu, kerajaan juga berusaha menjadikan Taman Negara Santubong dan Taman Negara Bako sebagai Senarai Hijau Kawasan Perlindungan dan Pemuliharaan dalam Kesatuan Konservasi Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN),” tambahnya.

Pengurusan hutan ini merupakan teras strategik yang ke-tujuh dalam belanjawan 2022 iaitu Menyeimbangkan Pertumbuhan Ekonomi dengan Kelestarian Alam Sekitar.

Secara Rawak

Artikel Terbaru