Monday, October 25, 2021

PANS 2021 semai kreativiti, inovasi dalam perkhidmatan Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Program Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak (PANS) 2021 diadakan bertujuan menyemai dan memperkasakan budaya inovasi dan kreativiti di kalangan penjawat awam, baik penjawat awam Persekutuan di Sarawak mahupun dalam kalangan penjawat awam Kerajaan Sarawak.

Menurut Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato’ Amir Omar, bulan Inovasi PANS pada tahun ini ‘Innovation: Breaking Through Norms’, ianya membawa pengertian yang sangat mendalam dimana inovasi dilihat dapat memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan di luar norma kebiasaan. 

“Sebagai penjawat awam, kita telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara. 

“Oleh itu, hendaklah kita sentiasa bermuhasabah, menilai kekurangan dan kelemahan diri dan organisasi dan seterusnya melaksanakan penambahbaikan dan peningkatan kualiti perkhidmatan demi mengekalkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam ucapan aluan di Majlis Penyampaian Anugerah Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2021 di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis. 

Tambahnya lagi, pencapaian negara di peringkat antarabangsa menerusi Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2020, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukannya dalam GII 2020 apabila naik dua anak tangga di kedudukan ke-33 daripada 131 negara, berbanding ke-35 pada tahun 2019. 

Manakala, di peringkat Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan ke-8 dalam indeks yang dikeluarkan oleh INSEAD, Pertubuhan Hartanah Intelek Dunia (WIPO) yang juga agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Cornell University. 

Pencapaian ini boleh dibanggakan dan perlu kekal kompetitif dan berdaya saing melalui pemikiran secara kreatif dan inovatif iaitu “thinking out of the box”.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr Sabariah Putit, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip dan Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak Banges Munga.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru